Rokok: Lelaki tempatan didenda $8,000

Rokok: Lelaki tempatan didenda $8,000

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda $8,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup.

Adi bin Lai, 45, menghadapi pertuduhan memiliki 24 karton rokok di dalam kereta yang dipandunya ketika ditahan untuk pemeriksaan di Pos Kawalan Kastam Kuala Lurah pada 20 Januari 2015 kira-kira 11:45 pagi.

Tertuduh diberi tempoh setahun oleh Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman untuk membayar denda atau berdepan 18 bulan penjara jika gagal membayar.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh ketika ditahan oleh pegawai pemeriksa kastam memberitahu bahawa dia tidak mempunyai apa-apa barang untuk diisytiharkan namun pemeriksaan yang dijalankan menemui rokok-rokok itu tersembunyi di dalam kot yang digantung di tempat duduk penumpang belakang dan juga disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang.

Ketika disoal siasat, tertuduh mengaku membeli rokok-rokok itu untuk kegunaan sendiri, yang dibelinya di Limbang pada harga $168.

ARTIKEL YANG SAMA