Roma gigit jari

Roma gigit jari

MILAN, 24 Ogos – Roma gagal mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas dua pemainnya dibuang padang ketika mereka tewas 0-3 di halaman sendiri kepada Porto pada aksi timbal balik kedua playoff, awal kelmarin.

Pada timbal balik pertama, Roma terikat 1-1 selepas Thomas Vermaelen dibuang padang dan peristiwa itu sekali lagi berlaku apabila Daniele De Rossi dikeluarkan pada minit ke-39 sebelum Emerson Palmieri turut mengekori jejaknya, lima minit selepas rehat babak pertama.

Biarpun berdepan kekurangan pemain, Roma bagaimanapun menunjukkan usaha namun tidak mampu menafikan jaringan pembukaan perlawanan oleh Felipe Augusto yang selepas itu diekori dua lagi jaringan menerusi Miguel Layun dan Jesus Corona.

“Kami sudah bersiap sedia dengan baik tetapi permulaan kami sangat buruk,” kata pemain tengah Roma, Kevin Strootman. “Kami bermain satu perlawanan dalam 10 pemain dan sekarang ini sembilan.

Pemain Porto, Miguel Layun menjaringkan gol semasa menentang AS Roma semasa play-off Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik Rom, kelmarin. – AP
Pemain Porto, Miguel Layun menjaringkan gol semasa menentang AS Roma semasa play-off Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik Rom, kelmarin. – AP

Ia boleh menjadi satu masalah mental kerana secara fizikalnya kami berada dalam keadaan baik. “Kami tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang tetapi kami tidak mampu melaksanakannya. Kami tidak bermain dengan baik dan saya tidak tahu kenapa,” katanya.

Meskipun Roma cuba mengatasi perlawanan, Strootman menyifatkan jaringan Layun sebagai tamparan besar buat mereka.

“Biarpun dengan sembilan pemain, kami tetap mencuba sedaya upaya,” katanya. “Namun apabila sudah ketinggalan 2-0, semuanya sudah berakhir. Sukar untuk bangkit, kami semua berasa marah.

“Apapun kami perlu memikirkan mengenai liga kerana kami perlu mengharunginya dengan lebih baik. Tidak ada sesiapa yang perlu dipersalahkan, kami tewas bersama-sama.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA