Roma tabik Totti

Roma tabik Totti

MILAN, 21 April – Penyokong mengalirkan air mata dan rakan sepasukan merasakan seolah-olah berada dalam sebuah filem apabila pemain veteran AS Roma, Francesco Totti yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Torino 3-2, awal pagi tadi.

Roma ketinggalan 1-2 ketika perlawanan berbaki empat minit apabila Josef Martinez menjaringkan gol kedua pada minit ke-80 selepas Andrea Belotti menyempurnakan sepakan penalti di babak pertama buat pasukan pelawat.

Bagaimanapun, bintang Roma, Totti yang peluangnya untuk memperbaharui kontrak bersama kelab itu tampak sukar selepas berlakunya perselisihan faham antara dia dengan jurulatih, Luciano Spalletti mencuri tumpuan dengan mengubah situasi dalam stadium.

“Laungan dalam stadium untuk Totti sangat menakjubkan,” kata Spalleti yang mengendalikan Roma apabila Stadium Olimpico penuh setiap kali perlawanan sepanjang empat musimnya bersama kelab itu pada 2005 hingga 2009.

Hanya 23 saat selepas masuk menggantikan pemain tengah Mali, Seydou Keita, Totti menceriakan penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan percuma Miralem Pjanic.

Totti menjaringkan gol kedua Roma dalam aksi Serie A semasa menentang Torino di Stadium Olimpik, Rom kelmarin. – AFP
Totti menjaringkan gol kedua Roma dalam aksi Serie A semasa menentang Torino di Stadium Olimpik, Rom kelmarin. – AFP

Dia menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki empat minit biarpun Spalletti mengakui pemain veteran itu tidak berada dalam perancangan.

“Saya harap Totti akan mengambil sepakan percuma itu kerana dia ada kelebihan untuk itu. Namun, saya melihat dia berlari antara pemain pertahanan dan menanduk masuk bola ke gawang gol lawan,” kata Spalleti.

Apabila Roma meraih sepakan penalti yang disifatkan kontroversi kerana bola terkena tangan pemain lawan dalam kotak penalti tiga minit kemudian, hanya seorang yang menumpu ke arah bola.

Biarpun Padelli dijangka mengambil sepakan itu, Totti lebih tenang untuk menyempurnakannya dan stadium bergemuruh dengan jaringan itu.

Dengan hanya tiga gol musim ini, Totti kini merekodkan keseluruhan 303 gol buat Roma dan 247 dalam saingan Serie A – 28 gol ketinggalan di belakang pemegang rekod sepanjang zaman 274 gol yang direkodkan Silvio Piola.

Totti dikerumuni seluruh pasukan dan penyokong dilihat menangis dengan penuh emosi dengan mereka merakam video untuk babak itu menerusi telefon pintar.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan mengenai detik istimewa ini, tetapi ia seperti penamat kepada filem epik,” kata pemain tengah Allessandro Florenzi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA