Roma tarik nafas

Roma tarik nafas

ROM, 5 Nov (AFP) – Penalti lewat Miralem Pjanic menghidupkan semula peluang Roma untuk melangkah ke fasa 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara dalam kemenangan dramatik 3-2 ke atas Bayer Leverkusen semalam.

Dengan Roma amat memerlukan kemenangan pertama pada peringkat kumpulan untuk mengekalkan harapan kelayakan ke fasa 16 terakhir, ledakan minit kedua Mohamed Salah berjaya mengurangkan tekanan awal di Stadio Olimpico.

Tuan rumah menggandakan kelebihan sebelum setengah jam apabila Edin Dzeko meledak gol keduanya untuk Giallorossi dan jaringan pertama Liga Juara-Juara sejak November 2013 untuk memberikan tuan rumah pendahuluan yang baik.

Tetapi, dua minggu selepas dramatik seri 4-4 di BayArena, Roma tersentak lima minit pada babak kedua apabila Admir Mehmedi dan Javier Hernandez memanfaatkan kesilapan pertahanan untuk menyamakan kedudukan dengan pasukan Roger Schmidt enam minit selepas rehat.

Miralem Pjanic (kiri) meraikan jaringan semasa menentang Bayer Leverkusen di Rom, semalam. – AFP
Miralem Pjanic (kiri) meraikan jaringan semasa menentang Bayer Leverkusen di Rom, semalam. – AFP

Roma goyah pada baki separuh masa kedua tetapi menerima talian hayat apabila Omer Toprak dilayangkan kad merah kerana menolak Salah ke dalam jaring ketika pemain Mesir itu sudah berkira-kira untuk membuat rembatan.

Pengadil Rusia Sergei Karasev menunjuk tempat penalti dan Miralem Pjanic mengambil sepakan dan mengalahkan Bernd Leno untuk mendahului 3-2 pada minit ke-81.

Roma kini melonjak ke tempat kedua Kumpulan E tetapi Garcia akan mencari penambahbaikan selepas persembahan babak kedua itu benar-benar bertentangan dengan prestasi babak pertama.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini, kami perlu menang untuk memberikan kami peluang dan kami berjaya melaluinya,” kata Garcia.