Rombongan Antirasuah Thailand kunjungi BMR

Rombongan Antirasuah Thailand kunjungi BMR

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Satu rombongan dari Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) Thailand, telah membuat lawatan kerja selama dua hari, hingga hari ini, ke Biro Mencegah Rasuah (BMR), di sini.

Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Agung NACC, Chairat Khanittabutr itu merangkumi sembilan pegawai kanan dari NACC dan 17 orang belia dari Duta Belia NACC, yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi universiti di Thailand, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ketibaan rombongan di BMR telah dialu-alukan oleh pegawai-pegawai kanan BMR yang diketuai oleh Pengarah BMR dan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Kesejahteraan), Dato Paduka Haji Muhammad Juanda bin Haji A. Rashid.

Menurut kenyataan itu, semasa di BMR, rombongan berkenaan telah mendengarkan taklimat mengenai penubuhan dan fungsi biro berkenaan serta strategi dalam meningkatkan integriti dalam kalangan belia di Negara Brunei Darussalam.

Di samping lawatan kerja, BMR juga telah menganjurkan sesi dialog antara Duta Belia NACC dan Belia-belia Negara Brunei Darussalam yang telah diadakan di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Rombongan NACC Thailand ketika mendengarkan taklimat mengenai penubuhan dan fungsi Biro Mencegah Rasuah.
Rombongan NACC Thailand ketika mendengarkan taklimat mengenai penubuhan dan fungsi Biro Mencegah Rasuah.

Sesi dialog berkenaan membincangkan peranan belia dalam memantapkan integriti dan memupuk nilai-nilai integriti dalam mencegah dan membanteras rasuah.

Ia juga bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan amalan baik dari Negara Brunei Darussalam dan Thailand.

Antara objektif lawatan kerja delegasi NACC adalah untuk memahami dan mempelajari strategi pencegahan dan amalan baik yang dilaksanakan di Brunei Darussalam terutamanya mengenai Pendidikan Pencegahan Rasuah dan peranan belia dalam memantapkan integriti dan pencegahan rasuah.

Di samping itu, ia juga merupakan platform dalam melibatkan belia Brunei dan Duta Belia NACC untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai peranan belia dalam mencegah dan membanteras rasuah.

Lawatan kerja NACC ini merupakan susulan daripada penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pembanterasan dan Pencegahan Rasuah antara Biro Pencegahan Rasuah, Brunei Darussalam dan Pejabat NACC, Thailand pada 10 Disember 2013.

ARTIKEL YANG SAMA