Rombongan bertadarus KHEU di Belait

Rombongan bertadarus KHEU di Belait

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 22 Jun – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, meneruskan siri Majlis Bertadarus Al-Quran ke seluruh daerah, dengan tumpuan kali ini di Masjid Jamalul Alam Kuala Belait.

Rombongan bertadarus KHEU berkenaan telah diketuai oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, yang turut mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yussof, Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Harun bin Haji Junid, Pegawai Daerah Belait, Haji Harris bin Othman, para pegawai dan kakitangan KHEU itu.

Majlis turut diisikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu, bacaan tahlil, dan diselajurkan dengan penyampaian sumbangan wakaf daripada KHEU berupa vakum serta beberapa buah buku terbitan Pusat Dakwah Islamiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom mengetuai rombongan bertadarus KHEU ke Masjid Jamalul Alam Kuala Belait.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom mengetuai rombongan bertadarus KHEU ke Masjid Jamalul Alam Kuala Belait.

Menurut kenyataan KHEU, aktiviti keagamaan tahunan itu adalah sebagai salah satu syiar untuk memakmurkan masjid-masjid di negara ini dan dalam masa yang sama mendekatkan diri dengan Al-Quran serta meningkatkan amal ibadat dalam bulan Ramadan.

Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEU dengan para jemaah masjid dan penduduk kampung sekitarnya.

Majlis Bertadarus Al-Quran KHEU seterusnya akan diadakan pada 29 Jun ini di Masjid Kampung Telisai, Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA