Rombongan BeTA kunjungi B2K Tutong

Rombongan BeTA kunjungi B2K Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 12 Okt – Rombongan seramai tujuh orang daripada Kumpulan Bersama Terbitan Antologi (BeTA), Malaysia, semalam mengadakan kunjungan muhibah ke Badan Kesenian dan Kebudayaan (B2K) Daerah Tutong di Lamin Sastera iaitu di kediaman rumah K.Manis, Kampung Tanjong Maya.

Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Ketua Bahagian Bahasa dan Sastera B2K Daerah Tutong, Dr. Chong Ah Fok.

Rombongan BeTA yang diketuai oleh Ismail Hashim itu memulakan lawatan mereka ke Lamin Sastera kepunyaan salah seorang penulis tempatan, K. Manis di mana rombongan menyaksikan ratusan puisi kepunyaan K.Manis.

Majlis pada malam itu diserikan lagi dengan deklamasi puisi oleh beberapa orang penyair tempatan seperti Dino, Norhamy, Abdullah Tahir, Rohaidah, Hajah Shaharah dan wakil daripada BeTA Malaysia.

Rombongan Kumpulan BeTA bergambar ramai bersama ahli-ahli B2K Daerah Tutong.
Rombongan Kumpulan BeTA bergambar ramai bersama ahli-ahli B2K Daerah Tutong.

Kunjungan BeTA ke Negara Brunei Darussalam sehingga Ahad ini adalah bertujuan untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar penulisan kreatif menerusi Bengkel Penulisan Cerpen menjadi Novel yang diadakan baru-baru ini di Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.

Di samping itu, kunjungan mereka juga diharap dapat bertukar-tukar pendapat, berkongsi ilmu dan pemikiran dengan penulis-penulis dalam dan luar negara bagi menambah ilmu penulisan kreatif

Kumpulan ini telah banyak melahirkan ramai penulis dan menghasilkan karya-karya berbentuk antologi penulis dalam pelbagai genre.