Rombongan BLNG, BMC beraya ke rumah ahli MMN

Rombongan BLNG, BMC beraya ke rumah ahli MMN

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 3 Ogos – Rombongan dari Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd dan Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd (BMC), hari ini, telah mengadakan kunjungan berhari raya ke kediaman ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad di Kampung Lumut 1.

Rombongan Syarikat Brunei LNG telah diketuai oleh Pengarah Urusan dan Pegawai Eksekutif Utama, Awang Mohamad bin Haji Awang Damit, manakala itu, mengetuai rombongan BMC ialah Pegawai Eksekutif Utama, Takayuki Miyamoto dan hadir sama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Daud bin Haji Jais.

Kunjungan berhari raya rombongan dari kedua-dua syarikat yang beroperasi di Mukim Sungai Liang itu, merupakan salah satu aktiviti tahunan sempena sambutan Hari Raya, dengan hasrat untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim dengan kepimpinan masyarakat di kawasan mukim berkenaan.

Rombongan juga telah turut berkunjung ke rumah penghulu Mukim Liang dan ketua kampung Sungai Liang.

Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bergambar ramai bersama rombongan yang berkunjung ke rumahnya.
Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bergambar ramai bersama rombongan yang berkunjung ke rumahnya.

Semasa di kediaman Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee, yang juga selaku Ketua Kampung Lumut 1, ketua-ketua rombongan dan para pegawainya sempat beramah mesra dengan Yang Berhormat, sambil bertukar-tukar fikiran mengenai perkembangan kampung dan sebagainya.

Majlis tersebut bertambah meriah dengan adanya berbagai-bagai juadah Hari Raya yang disediakan sambil mengisikan masa kunjungan dengan turut berbual mesra dengan kalangan ahli-ahli jawatankuasa majlis perundingan mukim dan kampung.

ARTIKEL YANG SAMA