Rombongan dari Perak tinjau Kg. Sg. Bunga

Rombongan dari Perak tinjau Kg. Sg. Bunga

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Rombongan seramai 104 orang pelajar Jurusan Diploma Perniagaan Antarabangsa, berserta tujuh orang pegawai dan pensyarah Kolej Profesional Mara Seri Iskandar, Perak,2 telah mengadakan lawatan kaji selidik pembelajaran ke Kampung Sungai Bunga, Mukim Kota Batu, di sini.

Rombongan lawatan yang diketuai oleh Pengarah kolej, Halimahtun Saadiah binti Haji Mohd Taib itu bertujuan untuk mengenal pasti sistem pemasaran dalam menjana pendapatan penduduk kampung berkenaan.

Selain itu juga, bagi membuat pendekatan kepada beberapa produk tradisional tempatan yang difikirkan sesuai untuk dieksport ke pasaran luar negara.

Rombongan pelajar dan pegawai berkenaan juga berpeluang untuk tinggal bersama keluarga angkat di kampung berkenaan yang secara tidak langsung memberi gambaran jelas akan kehidupan serta keharmonian penduduk setempat.

Rombongan dan beberapa penduduk Kampung Sungai Bunga sempat merakamkan gambar kenangan bersama.
Rombongan dan beberapa penduduk Kampung Sungai Bunga sempat merakamkan gambar kenangan bersama.

Dalam lawatan berkenaan, para pelajar tersebut juga telah didedahkan kepada proses-proses pembuatan produk kampung berkenaan antaranya Keropok Udang, Kueh Sapit dan Putu Mayang.

Tidak ketinggalan, rombongan juga berkesempatan untuk mempelajari cara-cara menumpah Ambuyat.

Malam semalam, kedatangan rombongan dialu-alukan dengan persembahan gabungan daripada penduduk Kampung Sungai Bunga, Mukim Kota Batu, yang turut disaksikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim juga selaku Ketua Kampung Belimbing, Mukim Kota Batu.

Pelajar-pelajar berkenaan juga berpeluang untuk mempersembahkan persembahan kebudayaan yang mengetengahkan kepelbagaian kaum, serta budaya persembahan tarian bangsa Malaysia.

Lawatan sambil belajar ke negara ini akan diteruskan dengan beberapa siri lawatan ke beberapa buah agensi kerajaan dan swasta meliputi pertubuhan sosial masyarakat yang menjurus ke arah perkembangan sosial serta perekonomian sehingga 26 April ini.

ARTIKEL YANG SAMA