Rombongan guru S’pura lawat Daerah Tutong

Rombongan guru S’pura lawat Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 7 Jun – Rombongan seramai 25 orang guru Bahasa Melayu dari Singapura yang diketuai oleh Guru Pakar, Pusat Bahasa Melayu Singapura, Siti Faridah Omar telah mengadakan lawatan ke Daerah Tutong, baru-baru ini.

Rombongan juga disertai oleh bebe-rapa orang pegawai dari Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Penolong Pengarah, Unit Latihan Jabatan Sekolah-sekolah, Hajah Noor Ehsan binti Haji Noor Kaseh.

Tujuan lawatan adalah untuk mengenali bahasa, budaya dan warisan etnik serta masyarakat Daerah Tutong sekali gus melawat ke tempat-tempat menarik di daerah ini.

Ketibaan kumpulan tersebut di Pejabat Daerah Tutong telah dialu-alukan oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Dayang Siti Joriahati binti Johari bersama kakitangan Jabatan Daerah Tutong serta ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong (BPPPDT).

Pelbagai aktiviti telah pun disusun bagi lawatan tersebut dengan seorang juru pandu pelawat atau pelancong disediakan yang terdiri daripada penduduk tempatan di daerah ini bagi mengiringi rombongan sepanjang lawatan tersebut.

Gambar ramai rombongan tersebut.
Gambar ramai rombongan tersebut.
Dayang Siti Joriahati menyampaikan cenderahati kepada ketua rombongan Singapura.
Dayang Siti Joriahati menyampaikan cenderahati kepada ketua rombongan Singapura.

Rombongan dibawa melawat ke destinasi pertama iaitu ke Taman Rekreasi Sungai Basong Tutong bagi menyaksikan dengan lebih dekat lagi rumah-rumah warisan etnik Daerah Tutong yang terdapat di taman tersebut.

Di sana, rombongan diberi penerang-an mengenai cara hidup orang-orang dahulu yang tinggal di rumah berkenaan, di samping menyaksikan pameran dan jualan yang turut diadakan di rumah-rumah tradisi etnik tersebut.

Rombongan juga berpeluang melihat secara dekat tanaman herba yang terdapat di taman tersebut yang terdiri daripada pelbagai jenis.

Kemudian, rombongan melawat Galeri 1K1P Daerah Tutong yang terletak di Pejabat Daerah Tutong di mana para pelawat diberi penerangan ringkas mengenai fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong.

Rombongan seterusnya dibawa melawat ke Perusahaan Minyak Kelapa Dara (VCO) yang diusahakan oleh Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim di mana mereka turut berkesempatan meninjau tempat pemprosesan produk tersebut dan jualan produk-produk yang terdapat di perusahaan berkenaan.