Rombongan Haji selamat tiba

Rombongan Haji selamat tiba

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini berbeza berbanding hari-hari biasa apabila penerbangan pertama jemaah haji selamat sampai ke tanah air selepas penerbangan ditangguhkan selama lima jam.

Kumpulan pertama jemaah haji yang tiba dengan pesawat penerbangan sewaan khas Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) BI4214 dan diiringi oleh para pegawai dari Maktab Urusan Haji Perubatan serta syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej Haji iaitu Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd itu disambut dengan bacaan Doa Selamat oleh Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin.

Hadir di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan jemaah haji ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof atas kapasitinya selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Beratus-ratus ahli keluarga dan rakan-rakan berkumpul seawal jam 3 petang di lapangan terbang menunggu dengan penuh kesabaran kedatangan orang tersayang selepas tiga minggu terpisah kerana melaksanakan ibadah haji di Kota Suci Mekah dan Madinah.

Sebahagian daripada anggota keluarga yang menyambut ketibaan rombongan haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin. - Gambar-gambar oleh Dean Kassim
Sebahagian daripada anggota keluarga yang menyambut ketibaan rombongan haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin. – Gambar-gambar oleh Dean Kassim
Pengiran Haji Malik bersama keluarga.
Pengiran Haji Malik bersama keluarga.
Seorang jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
Seorang jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

Bagi memastikan kelancaran ketibaan jemaah haji petang tadi, Pasukan Polis Diraja Brunei dan para pegawai perubatan telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan. Kumpulan kedua jemaah haji Brunei juga dijadual tiba pada petang ini.

Salah seorang daripada rombongan yang menunaikan haji buat kali pertama, Pengiran Malik Yusri bin Pengiran Haji Zaidi yang pergi ke tanah suci bersama isteri dan ibu bapanya memberitahu wartawan bahawa dia bersyukur kerana dapat menunaikan haji.

“Walaupun cuaca mungkin berbeza berbanding negara kita, Alhamdulillah, ia tidak menjejaskan semangat saya untuk melaksanakan salah satu daripada rukun Islam,” kata Pengiran Malik.

Sementara itu, Haji Puasa bin Bujang, 57, yang menunaikan haji bersama dengan isteri dan anak-anaknya, juga melahirkan rasa bersyukur kerana dapat melaksanakan salah satu daripada lima rukun Islam.

“Walaupun mengalami batuk kecil dan sejuk ketika berada di kota suci, perjalanan kami semua berjalan dengan lancar.

“Dengan kecekapan dan bantuan yang disediakan oleh pegawai dan perubatan haji, semua urusan berjalan dengan lancar,” tambah Haji Puasa.

ARTIKEL YANG SAMA