Rombongan kedua jemaah haji selamat pulang

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Penerbangan kedua yang membawa seramai 253 orang jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang mengikuti pakej Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd telah selamat tiba di tanah air kira-kira 3:30 petang tadi.

Kehadiran kaum keluarga dan sanak saudara Jemaah haji di Ruang Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei memeriahkan lagi sambutan kepulangan jemaah haji penerbangan kedua melalui pesawat Syarikat Penerbangan Diraja Brunei BI4216 berkenaan.

Kepulangan para jemaah haji dialu-alukan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi juga selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Juga mengalu-alukan ketibaan jemaah haji negara ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) KHEU, Haji Harun bin Haji Junid; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifli; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional dan Teknikal) Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin, wakil Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam, Ali Abdullah A.Alshehry serta para pegawai kanan dari KHEU.

Sejurus ketibaan jemaah haji, Doa Selamat telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman.

Hajah Nuramalina Syairah bersama ayah dan ibu merasa bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah haji tahun ini dengan sempurna.
Haji Salleh dan isteri bergambar ramai bersama anak dan ahli keluarganya.
Haji Muhammad Akhimullah ketika ditemu bual.

Salah seorang jemaah haji yang sempat ditemu bual Media Permata, Haji Muhammad Akhimullah bin Haji Abu Bakar, 30, dari Kampung Mulaut berkata, menunaikan ibadah haji merupakan satu pengembaraan yang sangat diingini oleh setiap orang yang beragama Islam, kerana ia merupakan salah satu Rukun Islam untuk ditunaikan jika berkemampuan. Katanya, selama keberadaan di sana, keadaan cuaca agak berlainan dengan di Brunei, memang pada awalnya agak sukar untuk menyesuaikan diri, akan tetapi segala urusan sepanjang keberadaan di sana dijaga dengan baik.

Beliau juga mengucap ribuan terima kasih kepada Syarikat Darussalam Holdings dan pihak-pihak yang berkepentingan dari Brunei Darussalam kerana memberi layanan dan perkhidmatan yang sangat baik, dari segi perubatan, keperluan kemudahan, makanan dan banyak lagi.

Manakala itu, Hajah Dayang Nuramalina Syairah binti Haji Sabli pula berkata, pahit manis sepanjang keberadaan di tanah suci memang sangat sukar untuk dilupakan akan tetapi pengalaman menjalani ibadah haji memang sangat-sangat berbeza.

“Memang menunaikan ibadah haji ini harus cukup kuat dengan sifat sabar. Kerana tanpa sifat sabar, banyak ibadah lain mungkin tidak tercapai dan juga adanya kursus-kursus yang dikelolakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama sebelum berangkat ke tanah suci memang sangat berguna, walaupun ada di antara harus dipelajari semasa berada di tanah suci,” ujarnya.

Dua lagi jemaah haji yang ditemui, Haji Salleh bin Haji Mahmud dan Hajah Safiah binti Abdullah dari Kampung Rimba melahirkan rasa syukur kerana dapat menunaikan ibadah haji tahun ini. Menurut mereka, pengalaman sepanjang menunaikan ibadah haji selama sebulan memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.