Rombongan Kementerian Pendidikan teruskan Majlis Berdikir

Rombongan Kementerian Pendidikan teruskan Majlis Berdikir

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Bagi menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W 1437 Hijrah, rombongan Kementerian Pendidikan telah meneruskan lagi Majlis Berdikir ke Masjid-masjid dengan hari ini diadakan di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan dan tahun ini majlis dikendalikan oleh Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Bahagian Pengajian Tinggi.

Rombongan Kementerian Pendidikan diketuai oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman. Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta kakitangan dari Kementerian Pendidikan.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam masjid berkenaan, Haji Muhammad Sa’adullah bin Haji Salleh.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menghadiri majlis berkenaan.
Rombongan Kementerian Pendidikan dan warga masjid melaungkan Dikir Syarafil Anam di majlis itu.
Rombongan Kementerian Pendidikan dan warga masjid melaungkan Dikir Syarafil Anam di majlis itu.

Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan diikuti dengan bacaan Dikir Syarafil Anam.

Selepas dikir selesai, majlis diteruskan lagi dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Di samping itu, majlis ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi tali silaturahim dalam kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Pendidikan.

Rombongan Kementerian Pendidikan akan meneruskan lagi majlis dikir berkenaan pada hari Rabu, 23 Disember ini, di Masjid Kampung Sungai Hanching.

ARTIKEL YANG SAMA