Rombongan KHEDN bertadarus di Tutong

Rombongan KHEDN bertadarus di Tutong

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), kelmarin, telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran Bulan Ramadan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung berserta Rombongan KHEDN dan Jabatan-jabatan di bawahnya Tahun 1436H/2015M bagi Daerah Tutong yang berlangsung di Masjid Kampung Menengah, Mukim Lamunin Tutong.

Rombongan diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai Daerah Tutong, ketua-ketua jabatan di KHEDN, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, jemaah masjid serta masyarakat kampung berdekatan.

Majlis Tadarus Al-Quran itu merupakan salah satu usaha dalam mendekatkan lagi hubungan silaturahim antara kementerian dengan kepimpinan akar umbi dan penduduk mukim dan kampung di Daerah Tutong.

Di samping itu, ia juga merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan kementerian dalam meraih kemanfaatan dan pahala dalam bulan Ramadan.

Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin dan Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyertai rombongan tadarus berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin dan Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyertai rombongan tadarus berkenaan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim di majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim di majlis berkenaan.

Majlis itu diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang dibacakan oleh imam Masjid Kampung Menengah dan diikuti dengan penyampaian sumbangan derma kepada 13 orang anak yatim Kampung Menengah dan Bukit Sulang serta sekitarnya, dan sumbangan barang wakaf bagi keperluan masjid berkenaan.

Seterusnya rombongan juga mengadakan majlis bersungkai bersama penduduk kampung berkenaan dan menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.

Majlis serupa juga akan diteruskan di daerah-daerah lain di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA