Rombongan KHEU terus semarakan Dikir Maulud

Rombongan KHEU terus semarakan Dikir Maulud

KUALA BELAIT, 21 Dis – Rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah meneruskan lagi Majlis Dikir Syarafil Anam 12 Malam Berturut-turut Sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasalam di Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait, hari ini.

Mengetuai rombongan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah juga selaku tetamu kehormat Majlis Ihya Maulidur Rasul itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis seumpama ini diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain mengingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEU dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.

Majlis dikir bagi rombongan berkenaan seterusnya akan diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang di selajurkan dengan Majlis Penutup Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi Tahun 1437H / 2015M pada 23 Disember ini bermula jam 8:00 malam.

Selain untuk memeriahkan dan memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, majlis dikir syarafil anam di masjid-masjid/surau dan balai ibadat seluruh negara adalah bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat dari Allah Subhanahu WaTa’ala.

Selain itu, ia dapat memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam dalam menyebarkan agama Islam.

Di samping itu, menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah S.A.W serta memohon ganjaran teristimewa dan syafa’at bagi orang-orang yang berselawat ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W adalah merupakan amalan yang mulia dalam pembentukan jati diri individu muslim.

Antara ganjaran yang akan diperolehi oleh orang yang sentiasa berselawat ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “sesiapa mengucapkan selawat kepada ku, Allah S.W.T berselawat (memberi rahmat) kepadanya 10 kali.”

ARTIKEL YANG SAMA