Rombongan MBDT teruja lawat Lamin Kampung

Rombongan MBDT teruja lawat Lamin Kampung

TUTONG, 21 Okt – Serombongan 20 ahli Majlis Belia Daerah Tutong (MBDT) dan keluarga baru-baru ini telah membuat lawatan sambil belajar ke Lamin Kampung (Rumah Kampung) dan Pangkalan Waris (kawasan memancing ikan dan udang galah sungai) di Kampung Penapar, Daerah Tutong.

Naib Yang Di-Pertua MBDT, Awang Ahanapi bin Haji Mahadi yang mengetuai rombongan itu berkata, lawatan tersebut diadakan bagi mengeratkan lagi tali silaturahim antara ahli-ahli MBDT dan keluarga di samping menambah pengetahuan mengenai kerja tangan tradisi dan meninjau sebuah taman rekreasi terbaru di daerah Tutong.

Haji Samihon bin Haji Kecik, juga salah seorang ahli MBDT adalah pemilik Rumah Kampung di kawasan rumah beliau dan taman rekreasi yang berhampiran.

Beliau memulakan aktiviti tersebut beberapa tahun yang lalu setelah bersara daripada perkhidmatan pendidikan dan telah dibuka secara rasmi pada bulan September lalu.

Semasa lawatan tersebut, Haji Samihon juga menunjuk cara membuat bubu udang galah, yang dibuat dengan menggabungkan bahan-bahan tradisi buluh dan zink moden.

Gambar ramai ahli MBDT bersama Haji Samihon.
Gambar ramai ahli MBDT bersama Haji Samihon.
Tunjuk cara membuat candas.
Tunjuk cara membuat candas.
Haji Samihon menunjukkan bubu diperbuat daripada zink dan buluh.
Haji Samihon menunjukkan bubu diperbuat daripada zink dan buluh.

Dengan menggunakan kepingan zink sebagai bahan induk bubu ini, menjadikan bubu ini tahan lama, tidak berkarat dan teguh.

Mengenai umpan, beliau berkata, kebiasaannya udang galah akan masuk ke bubu dengan mencium aroma dari isian kelapa tua. Bubu akan dilawat setiap tiga hingga empat hari. Faktor keadaan air juga mengambil peranan dalam membubu udang galah ini.

Di depan rumah beliau terletak pula Lamin Kampung (Rumah Kampung), muzium mini yang menempatkan koleksi barang lama seperti alat muzik gulingtangan kayu Sedaman, tongkat, sarung, ulu parang, buku, majalah, alat permainan tradisi dan yang lain-lain lagi termasuklah gambar gambar lama pengantin Melayu dan Puak Tutong.

Di akhir lawatan, peserta rombongan dibawa meninjau Pangkalan Waris, sebuah taman rekreasi khusus bagi tempat mengail udang galah dan ikan sungai serta sebagai tempat istirahat bersama kumpulan atau keluarga.

Beberapa buah pondok untuk memancing didirikan bagi keperluan orang ramai di samping kemudahan-kemudahan asas seperti tempat BBQ, tandas awam, ruang solat dan lain-lain. Pengunjung dikenakan bayaran sederhana mengikut keperluan masing-masing.

Dengan adanya Rumah Kampung dan Pangkalan Waris ini bertambahlah tempat-tempat yang menarik boleh di lawati oleh pelancong dalam dan luar negeri ke Destinasi Tutong. – HM Yusof

ARTIKEL YANG SAMA