Rombongan pelajar sekolah lawat AMBD, BIBD

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Seramai 60 orang murid sekolah rendah telah mengadakan lawatan ke Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, sempena dengan sambutan Global Money Week 2018.

Lawatan tersebut merupakan aktiviti yang dirancang oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama AMBD yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan kewangan.

Di samping itu juga untuk memberi pengetahuan kepada murid-murid mengenai operasi-operasi bank dan menambah pengetahuan mereka tentang sistem-sistem kewangan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam.

Para pelajar semasa mengadakan lawatan ke AMBD.
Para pelajar semasa berpeluang melihat suasana kerja di BIBD.

Aktiviti yang disusun pada hari pertama Global Money Week ini antaranya lawatan sambil belajar ke Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang melibatkan 18 orang pelajar sekolah menengah dan 60 orang murid sekolah rendah.

Global Money Week disambut di lebih 130 buah negara dan bermula hari ini hingga 18 Mac dengan tema ‘Money Matters Matter’.

Program anjuran Child & Youth Finance International (CYFI) ini disambut dengan mengadakan beberapa aktiviti tempatan dan serantau yang bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak dan belia agar belajar mengenai kepentingan wang, berjimat cermat, mewujudkan mata pencarian, mendapat pekerjaan dan menjadi seorang usahawan.