Rombongan pelajar S’pura lawat SR Bendahara Sakam

Rombongan pelajar S’pura lawat SR Bendahara Sakam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut, Kluster 2, pagi tadi, telah menerima kunjungan daripada rombongan seramai 40 orang murid dari Sekolah Rendah (SR) Endeavour, Singapura.

Lawatan rombongan yang diketuai oleh Timbalan Ketua SR Endeavour, Razali Senin dengan diiringi enam orang guru itu bertujuan untuk melihat suasana sekolah dan pentadbiran serta keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah berkenaan di samping mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara Brunei dan Singapura dari segi bidang pendidikan.

Di awal lawatan, rombongan terlebih dahulu mendengar ucapan alu-aluan daripada Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Rosinah binti Haji Ibrahim serta taklimat ringkas mengenai latar belakang sekolah berkenaan.

Gambar ramai rombongan dan warga Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut.
Gambar ramai rombongan dan warga Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut.

Para rombongan kemudian melawat pameran kuih-muih tradisional Brunei dan menyaksikan persembahan demo masakan tumpi dan juga ambulong.

Lawatan itu juga diserikan lagi dengan persembahan permainan tradisional Brunei, persembahan daripada penuntut lawatan dan persembahan tradisi daripada SR Bendahara Sakam Bunut.

ARTIKEL YANG SAMA