Rombongan perubatan dan bakal jemaah haji diraikan

Rombongan perubatan dan bakal jemaah haji diraikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Dengan hasrat untuk memeduli kesihatan jemaah-jemaah haji dari Negara Brunei Darussalam yang menunaikan fardu haji ke Tanah Suci, Kementerian Kesihatan akan menghantar rombongan pegawai-pegawai perubatan seramai 20 orang untuk mengiringi jemaah-jemaah haji berkenaan.

Sehubungan itu, bagi memohon supaya pemergian mereka dan bakal-bakal jemaah haji Kementerian Kesihatan dan jemaah Negara Brunei Darussalam sentiasa selamat, Majlis Doa Selamat bagi Rombongan Pegawai Perubatan Haji dan Bakal-bakal Jemaah Haji Kementerian Kesihatan diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Hadir menyempurnakan penyampaian surat lantikan kepada para pegawai perubatan dan sumbangan kepada para bakal jemaah haji yang diraikan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Pemangku Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kesihatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan surat lantikan kepada salah seorang pegawai perubatan haji yang diraikan pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan surat lantikan kepada salah seorang pegawai perubatan haji yang diraikan pada majlis berkenaan.

Rombongan pegawai perubatan haji itu diketuai oleh Pemangku Pegawai Perubatan Kanan, Dr. Haji Norzaidi bin Haji Saini dan terdiri daripada seramai enam orang doktor dan 14 orang jururawat serta kakitangan bantuan.

Seperti lazimnya, sebahagian pegawai perubatan haji iaitu lapan orang akan bertolak lebih awal untuk membuat persediaan awal menyambut kedatangan jemaah haji Negara Brunei Darussalam manakala yang lain akan mengiringi jemaah di setiap penerbangan dengan penerbangan jemaah haji pertama dijadualkan bertolak pada 18 Ogos nanti.

Di majlis itu juga, tujuh orang bakal jemaah haji Kementerian Kesihatan turut diraikan dan menerima sumbangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

ARTIKEL YANG SAMA