Rombongan PPNBD sertai Sarawak Seaboree ke-4

Rombongan PPNBD sertai Sarawak Seaboree ke-4

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) turut mengambil bahagian dalam Sarawak Seaboree ke-4 dan Perhimpunan Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan ke-2 yang bermula pada 21 hingga 27 November di Marina Parkcity, Miri, Negeri Sarawak, Malaysia.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud, hari ini.

Manakala majlis penutup pada 27 November pula akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Satem.

Sehubungan dengan itu, majlis penyerahan Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah diadakan kelmarin di hadapan Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, yang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Badar bin Haji Ali.

Haji Badar menyerahkan bendera kebangsaan kepada Awang Bui Quat Yee.
Haji Badar menyerahkan bendera kebangsaan kepada Awang Bui Quat Yee.

Pada majlis berkenaan, Haji Badar telah menyerahkan bendera negara kepada Ketua Kontinjen PPNBD, Awang Bui Quat Yee.

Hadir sama ialah Naib Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Abu Bakar bin Haji Ahmad, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pegawai pengakap serta pemimpin pasukan pengakap dan keluarga ahli-ahli pengakap yang menyertainya.

Bagi acara perhimpunan itu, PPNBD telah menghantar rombongan terdiri daripada enam pemimpin pengakap, 19 ahli pengakap muda dan pengakap remaja termasuk tiga ahli pengakap bahagian orang berkeperluan khas dari Pusat Bahagia Pulaie.

Jambori selama tujuh hari itu akan menyediakan pelbagai kegiatan yang bercorak kemahiran dan aktiviti yang dirancang untuk mencabar daya tahan fizikal dan peserta yang menyertainya.

Dijangkakan seramai lebih 3,000 orang peserta dari pelbagai negara ASEAN akan menyertai jambori itu.

ARTIKEL YANG SAMA