Rombongan Qari, Qariah selamat pulang

Rombongan Qari, Qariah selamat pulang

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Peserta Qari dan Qariah Negara Brunei Darussalam yang mengikut Pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-57 di Kuala Lumpur, Malaysia berakhir malam tadi, selamat pulang bersama rombongan ke tanah air.

Rombongan terdiri daripada Ketua dan Pengurus Rombongan, Awang Abdul Rahim bin Haji Durahman bersama pengurus peserta perempuan, Hajah Siti Mahyana binti PSKDPSS Dr Ustaz Haji Yahya; hakim jemputan, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; jurulatih, Dato Paduka Haji Yusop bin Bakar; jurulatih dan tenaga pengajar Institut Tahfiz-Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Termizi bin Haji Mahmod; peserta qari, Awangku Mohd Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki serta peserta qariah, Hajah Noor Dzuhairah binti Haji Damit.

Kepulangan mereka disambut oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, timbalan setiausaha tetap, pengarah kanan dan para pegawai kementerian berkenaan.

Awangku Mohd Adibul Amin yang berjaya menduduki tempat keempat dengan meraih peratus 90.10 peratus dalam pertandingan berkenaan, ketika ditemui, mengatakan latihan intensif yang diberikan masih belum mencukupi untuk menandingi peserta-peserta dari negara-negara lain yang cukup berkemahiran dan berpengalaman, namun peluang menyertai pertandingan itu akan dapat memperhalus lagi pembacaan Al-Qurannya dan meningkatkan pengalaman serta kemahiran yang ada.

Peserta Qari dan Qariah dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap KHEU di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Peserta Qari dan Qariah dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap KHEU di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Sementara itu, Hajah Noor Dzuhairah yang juga mendapat tempat keempat dengan mendapat 86.47 peratus, menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan dorongan kepadanya untuk menyertai pertandingan itu termasuk kaum keluarga dan guru-gurunya.

Juara dalam pertandingan berkenaan dimenangi oleh peserta Iran dengan memperoleh 91.75 peratus, peserta Malaysia berada di tempat kedua dengan memperoleh 91.38 peratus, peserta Filipina di tempat ketiga, Brunei Darussalam tempat keempat, dan Algeria berada di tempat kelima.

Manakala juara bagi peserta Qariah pula dimenangi oleh peserta Indonesia dengan memperoleh 91.55 peratus, peserta Filipina di tempat kedua dengan memperoleh 88.36 peratus, peserta Malaysia di tempat ketiga memperoleh 86.97 peratus, Brunei Darussalam tempat keempat dan peserta Thailand berada di tempat kelima.