Rombongan Sekolah PGGMB lawat Pusat Sejarah

Rombongan Sekolah PGGMB lawat Pusat Sejarah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Seramai 33 murid Tahun 6 bersama empat orang guru dari Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) Sungai Akar telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sejarah Brunei di ibu negara, hari ini.

Lawatan itu antaranya bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid berkenaan tentang fungsi dan peranan Pusat Sejarah Brunei di samping belajar mengenai sejarah Brunei.

Rombongan yang diketuai Dayang Noraine binti Abdul Rahim selaku guru penyelaras lawatan telah memulakan lawatan tersebut dengan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Sejarah Kanan di Pusat Sejarah Brunei, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad yang mengetuai Bahagian Perkhidmatan dan Pameran Pusat Sejarah Brunei.

Dalam taklimatnya, Pengiran Hajah Mahani antara lain menyentuh mengenai peranan dan fungsi Pusat Sejarah Brunei selain menjelaskan mengenai perbezaan pusat sejarah dengan muzium, serta cerita-cerita lisan yang memainkan peranan penting sebelum kedatangan pengaruh-pengaruh dari Barat.

Pengiran Hajah Mahani (kiri) dan Hajah Siti Aisah (kanan) ketika menyampaikan taklimat.
Pengiran Hajah Mahani (kiri) dan Hajah Siti Aisah (kanan) ketika menyampaikan taklimat.
Rombongan Sekolah PGGMB bergambar ramai bersama beberapa pegawai Pusat Sejarah Brunei.
Rombongan Sekolah PGGMB bergambar ramai bersama beberapa pegawai Pusat Sejarah Brunei.

Rombongan juga turut mendengarkan taklimat daripada Pegawai Sejarah, Hajah Siti Aisah binti Pungut yang menerangkan mengenai latar belakang Pusat Sejarah Brunei, penyelidikan dan pengumpulan yang meliputi salasilah, sejarah dan tokoh, monumen dan institusi, takapan dan pemuliharaan.

Selepas taklimat, rombongan telah dibawa melawat ke Perpustakaan Pusat Sejarah Brunei dan galeri pameran seperti Dewan Pameran Salasilah, Galeri Koleksi Manuskrip Borneo, Galeri Sejarah Brunei Tua dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA