Rombongan Selangor lawat Jabatan Mufti Kerajaan

Rombongan Selangor lawat Jabatan Mufti Kerajaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Rombongan seramai 24 orang dari Masjid Al-Ehsan, Shah Alam, Selangor, kelmarin telah mengadakan lawatan ke Jabatan Mufti Kerajaan.

Ketibaan rombongan di DarulIfta Brunei Darussalam telah dialu-alukan oleh beberapa orang pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan dengan diketuai oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Mohd Sofian bin Haji Basri.

Sebelum memulakan lawatan, rombongan telah diberikan taklimat mengenai sejarah dan fungsi serta matlamat penubuhan Jabatan Mufti Kerajaan yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Perhubungan Awam, Awang Mohd Ariffin bin Haji Sulaiman.

Majlis diteruskan dengan penyampaian wakaf buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan kepada wakil rombongan yang disempurnakan oleh Awang Mohd Sofian.

Pakej Wakaf Buku Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan merupakan salah satu usaha jabatan untuk menyebarkan ilmu Islam dan memberi peluang umat Islam di semua peringkat untuk berwakaf dan beramal jariah.

Rombongan pelawat dari Selangor ketika dibawa melawat ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS).
Rombongan pelawat dari Selangor ketika dibawa melawat ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS).

Rombongan pelawat kemudiannya dibawa ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS).

BPIS memiliki lebih 1,000 koleksi manuskrip dan beratus-ratus bahan artifak yang dilambangkan kepada ulama/pakar Islam dan institusi Islam yang bersejarah termasuk pelbagai koleksi tongkat, tasbih dan tanda-tanda kebesaran Allah seperti fosil dan seumpamanya.

Balai ini ditubuhkan pada 2001 dan diletakkan sementara di aras bawah dan aras pertama Bangunan Perpustakaan Islam Brunei (PIB), DarulIfta Brunei Darussalam di bawah pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan.

Tujuan lawatan rombongan berkenaan ke Jabatan Mufti Kerajaan adalah untuk mengeratkan Ukhuwah Islamiah di antara kedua-dua institusi di samping mengadakan lawatan sambil belajar.

ARTIKEL YANG SAMA