Rombongan SM YSHHB berlepas ke Johor

Rombongan SM YSHHB berlepas ke Johor

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Seramai 10 orang pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) telah berlepas ke Johor bagi mengikuti Festival Kebudayaan, Sains dan Pendidikan Antarabangsa Samura ke-5 (SICSEF 5) yang akan berlangsung di Sekolah Menengah Sains Muar, Tanjung Agas, Ledang, Johor, Malaysia, bermula esok hingga 30 Ogos.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Penolong Pengarah Urusan 3, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Hajah Donnaliza binti Haji Abdullah Puasa, Pemangku Ketua, Siew Kuan Keasberry dan Guru Kanan, Haji Samsul Muawan bin Haji Sodiq.

Rombongan pelajar berkenaan diiringi oleh dua orang guru iaitu Awang Zamany bin Haji Mohd Rais dan Dayang Siti Anisah binti Moksin.

Pada festival tiga hari itu, para pelajar SM YSHHB akan mengikuti beberapa kategori iaitu Menghafaz Al-Quran, Pidato SICSEF, Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Nusantara, Melukis Poster SICSEF dan Pameran Amalan-amalan Terbaik SICSEF dalam Pendidikan.

Ketua Jabatan Bahasa Melayu di SM YSHHB, Awang Zamany yang juga salah seorang guru pengiring semasa ditemui menjelaskan, setiap tahun SM YSHHB akan menyertai pertandingan berkenaan, dan ini merupakan tahun yang kelima.

Rombongan pelajar bersama guru pengiring mereka sebelum berlepas ke Johor.
Rombongan pelajar bersama guru pengiring mereka sebelum berlepas ke Johor.

“Alhamdulillah, setiap tahun pertandingan ini, sekolah Yayasan ada juga berjaya untuk memenangi beberapa kategori dan penyertaan dari tahun ke tahun juga begitu menggalakkan.”

Menurut beliau, tahun ini, para pelajar yang terpilih menyertai festival berkenaan terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 7 dan 10, yang mana mereka telah mula membuat persiapan pada tiga bulan yang lepas.

Pemilihan para pelajar adalah berdasarkan prestasi akademik mata pelajaran mereka yang bermula pada awal tahun lagi dan pertandingan ini juga amat disokong dan didorong oleh para ibu bapa di SM YSHHB.

Antara pertandingan yang berpotensi akan membawa kemenangan dari sekolah berkenaan adalah Tilawatil Al-Quran, pidato dan amalan terbaik.

Penyertaan bagi festival ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pelajar untuk bertanding dengan para pelajar di luar negara di samping memberikan dorongan dan sokongan kepada mereka.

Selain itu, ia turut memupuk dan membangun kemahiran mereka dari segi kreativiti, keyakinan diri sambil mempelajari dan berkongsi kemahiran yang lain bersama pelajar antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA