Rombongan Thailand berkunjung ke Daerah Belait

Rombongan Thailand berkunjung ke Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 12 Mei – Rombongan pegawai Penyiaran Radio Thailand yang dalam rangka lawatan lima hari di negara ini, telah membuat kunjungan ke Daerah Belait, di mana mereka dialu-alukan oleh Persatuan Pertiwi di Dewan Pejabat Daerah, di sini, hari ini.

Mengetuai rombongan ialah Ketua Perkhidmatan Dunia, Penyiaran Radio Thailand, Pimphan Ngeonsawang, dan disertai sama Penerbit Twin Radio merangkap Penyelaras Projek Thai-Brunei, Sawanya Sanguanboon, Pemberita/Penyelaras, Nadeeyas Latae dan Wannachai Jittiwong serta Pegawai Teknik, Suphachai Chantha.

Kehadiran rombongan dialu-alukan Pengerusi Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji serta ahli-ahli persatuan tersebut dalam acara suai kenal sambil menunjukkan demo membuat makanan tradisi seperti Ambuyat, Kuih Penyaram, Kuih Getas, Ketupat Santan dan sebagainya.

Pemangku Ketua Rancangan Radio, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud, semasa ditemui memberitahu, kunjungan rombongan itu ke Daerah Belait adalah untuk memberikan peluang para Pegawai Penyiaran Radio Thailand untuk melihat lebih dekat lagi perjuangan serta kesepakatan dan juga perpaduan sesebuah persatuan seterusnya melihat kemajuannya.

Menurut beliau, sepanjang kunjungan ke negara ini yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Brunei di bawah pengurusan Perkhidmatan Radio Brunei, rombongan telah dibawa ke pelbagai tempat bagi meninjau aspek kehidupan dan perkembangan ekonomi, termasuklah perkembangan pertanian, keharmonian dan sebagainya.

Dayang Fatimah menyerahkan cenderahati kepada ketua rombongan pegawai Penyiaran Radio Thailand.
Dayang Fatimah menyerahkan cenderahati kepada ketua rombongan pegawai Penyiaran Radio Thailand.

Beliau juga memberitahu bahawa lawatan itu merupakan kegiatan pertukaran pegawai bahagian penyiaran bagi mewujudkan kerjasama kedua-dua buah negara dalam perkembangan bidang penyiaran khususnya di radio.

Tambahnya lagi, lawatan itu adalah melalui Program Kesepakatan MoU dalam bidang penyiaran, yang menggariskan antara kegiatan pertukaran pegawai dan rombongan tersebut akan membawa pulang hasil rakaman mereka dengan bahan-bahan yang bertepatan untuk diterbitkan di Radio Thailand.

Sementara itu, Pimphan Ngeonsawang pula menyatakan, kunjungan mereka merupakan satu program pertukaran di mana mereka akan membawa pulang rakaman-rakaman dari segi kebudayaan, keharmonian dan sebagainya.

Mereka juga telah sempat menemu ramah beberapa orang warga Thailand yang telah bermastautin di negara ini setelah berkahwin dengan warga di negara ini.

Menurutnya, mereka telah membuat penggambaran dan temu bual untuk keperluan penyiaran Radio dan Televisyen Thailand, mengenai pengalaman pasangan warga Thailand dengan warga Brunei yang telah mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun, dan telah menceritakan pengalaman kehidupan mereka dan hubungan sesama masyarakat dari segi budaya dan sebagainya.

“Warga Thailand, belum begitu terdedah dengan Brunei, terutamanya dari segi kebudayaan, keagamaan, dan inilah yang ingin kami kongsikan kepada penduduk di negara kami,” katanya.

Beliau juga memberitahu, melalui program pertukaran ini, kedua-dua buah negara akan terlibat bagi konsert terbesar yang dijangka akan diadakan pada 26 Ogos nanti di Auditorium Bangkok, “dan di sinilah Brunei akan lebih berpeluang mengetengahkan budaya dan tradisi mereka” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA