Rombongan Thailand kenali Tutong

Rombongan Thailand kenali Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Okt – Sebagai usaha untuk mengenali Daerah Tutong dengan lebih dekat lagi, seramai 55 orang daripada Rajapark Institut, Kampus Yala, Thailand yang diketuai oleh Pengarahnya, Prof Madya Kasem Benchawong telah melawat beberapa buah tempat di daerah ini, pagi tadi.

Rombongan Kampus Yala mula-mula melawat Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) di Lubok Pulau, Tutong dengan kedatangan mereka telah dialu-alukan oleh Penasihat PESATU, Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking dan Yang Di-Pertua PESATU, Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat bersama ahli-ahli persatuan itu.

Rombongan berkenaan telah diberi penerangan ringkas mengenai sejarah penubuhan dan peranan persatuan berkenaan dengan lebih dekat.

Pada masa ini, PESATU mempunyai 230 orang ahli dan aktif dalam menjalankan aktiviti keagamaan seperti kelas bimbingan mualaf, meraikan hari-hari kebesaran Islam, bertadarus, sembahyang Tarawih berjemaah pada bulan Ramadan dan banyak lagi.

Rombongan Kampus Yala yang hadir di PESATU, Lubok Pulau, Tutong.
Rombongan Kampus Yala yang hadir di PESATU, Lubok Pulau, Tutong.

Rombongan itu kemudiannya melawat Lamin Sastera di Kampung Tanjong Maya yang dimiliki penyair tempatan, Haji Moksin bin Haji Kadir atau lebih dikenali sebagai K.Manis untuk mendalami kegiatan kesusasteraan, kesenian dan karya penulisan di Daerah Tutong.

Di samping itu, rombongan juga berpeluang menyaksikan koleksi dan pameran buku-buku serta karya K.Manis sambil bertukar-tukar buah fikiran dan pandangan dalam menghasilkan karya penulisan sastera.

Turut hadir bagi mengalu-alukan kehadiran rombongan di Lamin Sastera ialah Penghulu Mukim Tanjong Maya, Haji Abdul Wahab bin Apong.

Sebelum ini, rombongan juga berkesempatan melawat Galeri 1K1P di Jabatan Daerah Tutong. Kedatangan mereka telah dialu-alukan oleh pegawai dan kakitangan Daerah Tutong bersama ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA