Rombongan Thailand lawat MPK Belimbing, BASKIM

Rombongan Thailand lawat MPK Belimbing, BASKIM

Oleh Normazlina M.D & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Rombongan seramai 48 orang dari Institut Rajapark, Kampus Yala, Thailand yang sedang dalam lawatan sambil belajar ke negara ini, telah mengadakan lawatan ke Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing, Mukim Kota Batu, di sini, hari ini.

Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Pengarah Institut Rajapark Kampus Yala, Thailand, Penolong Profesor Haji Kasem Benchawong itu telah dialu-alukan oleh Ketua Kampung Belimbing, Haji Gapor@ Haji Mohd Daud bin Karim.

Semasa kunjungan tersebut, rombongan telah dibawa melawat ke persekitaran Taman Rekreasi Tasik Sarubing, di mana beberapa petak pameran mengenai aktiviti MPK Belimbing turut diadakan semasa lawatan itu.

Kasem Benchawong semasa ditemu bual menjelaskan bahawa lawatan tersebut telah disertai seramai 45 orang terdiri daripada pensyarah dan pelajar kampus, yang mana menurutnya, rombongan tersebut merupakan kumpulan ke-8 yang mengadakan lawatan ke negara ini.

Antara lain objektif lawatan ini, jelasnya lagi, adalah untuk mempelajari dan seterusnya melihat lebih dekat lagi mengenai produk kraf tangan yang dihasilkan oleh penduduk kampung, selain untuk melihat dan meninjau ubat-ubatan herba sebagai salah satu inisiatif bagi membantu masyarakat di Selatan Thailand.

Selain mengadakan lawatan ke MPK Belimbing ini, rombongan juga telah mengadakan lawatan ke Daerah Belait dan Tutong, selain ke beberapa buah tempat yang menarik di negara ini.

Sebagai sebahagian daripada lawatan mereka ke negara ini, kelmarin, rombongan berkenaan juga telah mengadakan lawatan ke Badan Kebajikan Saudara-saudara Baru Kampung Kiudang/Mungkom (BASKIM), Daerah Tutong.

Ketibaan rombongan telah disambut oleh Penasihat BASKIM, Haji Umarali bin Esong dan ahli-ahlinya. Semasa lawatan, rombongan dibawa menyaksikan aktiviti-aktiviti BASKIM iaitu demonstrasi tulisan jawi dan seterusnya menyaksikan video berdurasi 25 minit mengenai kegiatan BASKIM dan diikuti dengan sesi soal jawab. Hasil daripada lawatan tersebut, rombongan melahirkan rasa kagum mengenai kegiatan dakwah yang dijalankan oleh BASKIM dalam membimbing saudara-saudara baru di Kampung Kiudang.

Selain itu mereka juga tertarik terhadap kegiatan BASKIM yang sentiasa membantu masyarakat seperti anak-anak yatim bagi saudara-saudara baru di Kampung Kiudang. Adapun tujuan rombongan mengadakan lawatan tersebut adalah untuk menyaksikan lebih dekat kegiatan-kegiatan keagamaan serta budaya Islam yang dijalankan oleh BASKIM.

ARTIKEL YANG SAMA