Rombongan UBD lawat Pusat Sejarah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Seramai 20 orang pelajar Tahun 1 Universiti Brunei Darussalam (UBD), petang tadi, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sejarah Brunei, di ibu negara, hari ini.

Dalam lawatan itu, rombongan yang diketuai oleh pensyarah UBD, Profesor Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail berpeluang untuk mendengarkan taklimat mengenai Pusat Sejarah Brunei yang disampaikan oleh Pegawai Sejarah Kanan, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad.

Beliau dalam taklimat itu menyentuh mengenai latar belakang penubuhan Pusat Sejarah Brunei yang ditubuhkan pada 26 Januari 1982 atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Pada awalnya, jabatan berkenaan telah berpejabat sementara di Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan lapan orang pegawai dan kakitangan yang dipinjam daripada Dewan Bahasa dan Pustaka yang kemudiannya ditetapkan berkhidmat di pusat tersebut.

Kemudian ia berpindah ke bangunan bekas Pejabat Surahanjaya Perkhidmatan Awam, Jalan Stoney pada tahun 1985 dan pada tahun 1987, jabatan berkenaan telahpun berpindah ke bangunannya sendiri sehingga ke hari ini.

Para pelajar UBD menyaksikan pameran khat jawi.

Beliau turut menyentuh mengenai matlamat Pusat Sejarah Brunei iaitu untuk menanamkan perasaan cintakan raja, agama, bangsa dan negara di samping untuk mendokong falsafah negara Melayu Islam Beraja.

Selain itu untuk memasyarakatkan persejarahan Negara Brunei Darussalam kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

Rombongan berkenaan turut menyertai beberapa aktiviti seperti takapan batu nisan, pembuatan salasilah dan aktiviti khat jawi, kemudian melawat ke bilik-bilik di pusat berkenaan.

Lawatan berkenaan bertujuan untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi tentang peranan Pusat Sejarah Brunei dalam penyelidikan sejarah negara ini dan juga bahan-bahan yang tersimpan di pusat tersebut.