Rombongan W.I. Kedah kunjungi Jabatan Daerah Tutong

Rombongan W.I. Kedah kunjungi Jabatan Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 29 Jan – Seramai 29 orang ahli Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (W.I.) Negeri Kedah petang tadi telah membuat lawatan ke Galeri 1K1P (1 Kampung 1 Produk) Jabatan Daerah Tutong sebagai sebahagian daripada siri lawatan selama tiga hari, di negara ini.

Rombongan tersebut diketuai oleh Bendahari W.I. Negeri Kedah, Hasnah binti Mohammad Hashim.

Lawatan ke Daerah Tutong merupakan lawatan hari ketiga rombongan tersebut yang mana pada sebelah pagi tadi rombongan telah dibawa melawat ke Ibu Pejabat Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (W.I.) Brunei Darussalam di Jalan Bukit Bendera Pekan Tutong.

Adapun tujuan rombongan tersebut ke Jabatan Daerah Tutong ialah untuk mengetahui fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong dan Galeri 1K1P Jabatan Daerah Tutong serta menyaksikan dan mengetahui dengan lebih dekat lagi pameran dan jualan produk-produk kampung yang dihasilkan oleh ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong di galeri tersebut.

Rombongan W.I. Negeri Kedah ketika membuat lawatan ke Galeri 1K1P Jabatan Daerah Tutong.
Rombongan W.I. Negeri Kedah ketika membuat lawatan ke Galeri 1K1P Jabatan Daerah Tutong.

Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas selaku Ketua Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong, Dayang Siti Joriahati binti Johari, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong serta ahli-ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.

Lawatan dimulakan dengan penerangan ringkas mengenai Jabatan Daerah Tutong dan Galeri 1K1P Jabatan Daerah Tutong, sebelum dibawa melawat ke Galeri 1K1P yang turut diiringi oleh beberapa orang belia yang memakai pakaian tradisi lima etnik masyarakat yang terdapat di Daerah Tutong.

Galeri 1K1P Jabatan Daerah Tutong telah ditubuhkan pada 2 Mei 2014 hasil cetusan daripada inspirasi dan wawasan Jabatan Daerah Tutong, ‘Membangun Bersama Masyarakat’.

Galeri yang berkonsepkan sebuah pondok kampung ini merupakan ‘gateway’ dan kunci ke arah kemajuan dan kecemerlangan Daerah Tutong yang berfungsi sebagai Pusat Informasi 1K1P dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Tutong.

Usaha ini selaras dan amat bertepatan dengan hasrat untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai Daerah Destinasi yang indah, unik dan menarik.