Romero ‘hutang budi’ dengan van Gaal

Romero ‘hutang budi’ dengan van Gaal

LONDON, 9 Sept – Kepercayaan yang diberikan pengurus Louis van Gaal membuatkan penjaga gol Manchester United, Sergio Romero lebih yakin dan bukan mudah bagi pemain Argentina itu untuk disenaraikan selaku penjaga gol utama ketika ini.

Romero yang menggantikan penjaga gawang Sepanyol David de Gea sebagai pemain nombor satu United, berjaya mengekalkan rekod bersih sepanjang empat aksi sebelum ini tetapi dia dikritik hebat selepas tewas 2-1 di tangan Swansea City sebelum liga berhenti rehat.

“Bermain untuk United seolah-olah mimpi dan jika tuhan mengizinkan, mimpi ini tidak akan ada penghujungnya,” kata Romero, 28.

“Seperti yang pernah saya katakan, saya perlu berterima kasih kepada Van Gaal kerana mempercayai saya. Walaupun saya tidak bermain ketika pra musim, saya diberi kepercayaan untuk menjaga gawang kelab terbesar dunia.

“Penting bagi mana-mana penjaga gol untuk mendapat sokongan seperti ini kerana bagi seorang penjaga gol, posisi itu tidak ada giliran. Mereka akan bermain atau berehat. Hanya ada dua pilihan. Tidak ada yang ketiga.”

Sergio Romero. – Reuters
Sergio Romero. – Reuters

Kegagalan De Gea untuk berpindah ke Real Madrid pasti menambah tekanan buat Romero tetapi penjaga gol yang sedang beraksi bersama negaranya itu sedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.

“Saya tidak fikir posisi penjaga gol sudah sah menjadi milik saya cuma apa yang saya tahu, saya mendapat sokongan baik daripada Van Gaal serta kakitangannya,” kata Romero.

United yang sedang menduduki tangga kelima Liga Perdana, akan meneruskan kempen dengan menentang Liverpool, awal pagi Ahad. – Reuters