Rompak dan rogol: 2 lelaki dipenjara dan 12 sebatan

Rompak dan rogol: 2 lelaki dipenjara dan 12 sebatan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Dua lelaki tempatan yang berdepan pertuduhan rompakan secara berkumpulan, dan salah seorang daripadanya turut berdepan tuduhan merogol telah dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Perantaraan disini, hari ini.

Muhammad Azri bin Azman, 19, didakwa atas dua pertuduhan iaitu merompak wang $130 daripada seorang remaja perempuan berusia 17 tahun (mangsa) dan merogolnya pada 5 Oktober, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebat oleh Hakim Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin.

Mohammad Firdaus bin Abu Bakar, 20, yang berdepan pertuduhan merompak wang $130 daripada mangsa dikenakan lapan tahun penjara dan 12 sebatan.

Hakim memerintahkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh bermula hari ini.

Dalam sebutan terdahulu, Muhammad Azri mengaku melakukan kesalahan itu kerana memerlukan wang untuk dadah.

mahkamah

Wang $130 yang diambil daripada mangsa mereka gunakan untuk membeli syabu.

Fakta kes menyebut, sekitar 27 September, mangsa yang berusia 17 tahun dari Daerah Temburong telah membuat post dalam media sosial Facebook bahawa dia ingin mencari rumah sewa dan juga pekerjaan.

Muhammad Azri melihat post itu terus menawarkan mangsa untuk tinggal di rumahnya di Jerudong, dan menawarkan diri untuk mengambil mangsa di bandar pada 1 Oktober.

Pada 5 Oktober, Muhammad Azri bersepakat dengan Mohammad Firdaus yang bermalam di rumahnya untuk mencuri wang daripada mangsa dengan mengikatnya.

Sekitar jam 9:30 malam, kedua-dua tertuduh memasuki bilik mangsa di mana Muhammad Azri menutup kepala mangsa dengan tuala dan menumbuk mukanya beberapa kali.

Mohammad Firdaus melihat mangsa yang mula menangis dan menjerit meminta bantuan, terus menutup mulut mangsa.

Muhammad Azri kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa dengan tali.

Selepas menyuruh Mohammad Firdaus keluar dari bilik, Muhammad Azri terus merogol mangsa.

Muhammad Azri kemudian meminta bantuan Mohammad Firdaus untuk mengangkat mangsa ke dalam keretanya, dan memandunya ke Kampung Panchur Murai dan meninggalkannya di kawasan itu.

Mangsa ditemui oleh polis pada malam yang sama selepas menerima maklumat daripada orang ramai yang terlihat mangsa merayau-rayau di kawasan terbabit.

Mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, dan siasatan dijalankan oleh polis.

Muhammad Azri ditangkap pada 9 Oktober sekitar jam 10 pagi manakala Mohammad Firdaus ditahan kira-kira jam 1 petang pada hari yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norjauinah binti Haji Kula.

ARTIKEL YANG SAMA