Rompak: Tertuduh dipenjara 9 tahun

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Seorang lelaki yang didapati bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan dijatuhi hukuman sembilan tahun penjara oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

Tidak cukup dengan penjara, Haji Muhammad Dhiyaulhaq bin Haji Ariffin turut berdepan dengan hukuman 12 kali sebatan yang diputuskan oleh Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.

Tertuduh didapati bersalah melakukan rompakan di Stesen Minyak Mar’ Azmala, Kampung Jerudong sekitar 9:50 malam pada 16 September 2014.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi mendakwa, ketika kejadian, tertuduh memakai topeng dan bersenjatakan parang.

Tertuduh mengacukan parang ke leher pekerja di stesen tersebut, yang ketika itu memakai beg pinggang yang mengandungi wang berjumlah $3,900 (wang hasil daripada jualan minyak kereta).

Melihat pekerja itu enggan menyerahkan beg itu, tertuduh terus memotong tali beg dan melarikan diri. Pengurus stesen minyak kemudian membuat laporan polis.

Untuk mengelak daripada menjadi suspek, tertuduh pada hari yang sama kira-kira jam 11:40 malam, telah membuat laporan di Pos Polis Lebuh Raya Muara-Tutong dengan mendakwa yang dia mengejar sebuah kereta.

Sebaik semua maklumat dikumpulkan, siasatan polis menjurus kepada penglibatan tertuduh dalam kes rompakan. Tertuduh diberkas keesokan harinya di rumahnya.