Ronaldinho ‘bersara’ selepas dua perlawanan

Ronaldinho ‘bersara’ selepas dua perlawanan

Ronaldinho

GOA, India, 20 Julai – Legenda Brazil, Ronaldinho (atas) terpaksa menarik diri daripada kejohanan Futsal Perdana India selepas sekadar beraksi dalam dua perlawanan.

Bekas pemain Barcelona itu akan pulang ke Brazil kerana ditugaskan sebagai ‘duta jenama’ bagi Sukan Paralimpik, Rio sekali gus meninggalkan India selepas beberapa hari meledakkan lima gol pada penampilan sulungnya bersama Goa.

Pemain berusia 36 tahun itu akan digantikan oleh rakan senegaranya, Cafu bagi menyertai beberapa legenda lain seperti Luis Figo, Paul Scholes dalam kejohanan yang menampilkan rentetan bintang ‘bersara’ itu.

Ronaldinho dalam kenyataan yang dikeluarkan Gazetta World berkata: “Saya memperoleh masa yang menakjubkan bermain di Chennai. Namun malangnya, hanya selepas saya mendapat rentak dan mengenali negara ini dengan lebih baik, saya terpaksa pulang kerana negara saya mahukan saya.

“Jawatankuasa Para-Olimpik menganugerahkan saya sebagai duta mereka, yang memerlukan saya untuk berada di Brazil. Saya memang mahu kekal berada di Goa, malah saya baru mengetahui mengenai perkembangan ini semalam.

“Saya gembira untuk menghabiskan beberapa hari ini di negara kamu yang indah dan mempromosi permainan yang saya mainkan ketika membesar,” katanya.

Ronaldinho yang terkenal dengan skil serta muslihatnya ketika dalam perlawanan menampilkan persembahan terbaiknya ketika membantu Goa menewaskan Bengaluru 7-2. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA