Ronaldinho sertai Fluzao

Ronaldinho sertai Fluzao

RIO DE JANIERO, 12 Julai (Reuters) – Pemain terbaik dunia dua kali, Ronaldinho Gaucho menandatangani kontrak selama 17 bulan bersama Fluminense, umum kelab Brazil itu, hari ini.

Ronaldinho yang pernah beraksi bersama gergasi Sepanyol, Barcelona menyertai kelab dari Rio de Janeiro itu selepas menamatkan kontraknya bersama kelab Mexico, Queretaro. Di Queretaro, Ronaldinho menghabiskan masa selama setahun.

Pemain berusia 35 tahun itu yang sebelum ini pernah beraksi di Brazil bersama kelab Gremio, Flamengo dan Atletico Mineiro berkata dia kembali ke Brazil dalam usahanya menjulang trofi Serie A Brazil, salah satu kejuaraan yang belum dimenanginya.

“Ia adalah salah satu perkara yang memberi motivasi kepada saya untuk pulang ke Brazil, dalam usaha memburu gelaran yang tidak pernah saya miliki, selain berada di kelab yang mempunyai pemain-pemain hebat,” kata Ronaldinho dalam laman web pasukan itu.

“Saya amat bermotivasi. Ketika saya berada bersama kelab lain di Rio de Janeiro, kami hanya bermain di (Stadium) Engenhao jadi bermain di (Stadium) Maracana amat mengujakan saya.”

Ronaldinho (kanan) menyertai Fluminense dengan kontrak 17 bulan selepas meninggalkan kelab Mexico, Queretaro. - Reuters
Ronaldinho (kanan) menyertai Fluminense dengan kontrak 17 bulan selepas meninggalkan kelab Mexico, Queretaro. – Reuters

Dianggap salah seorang pemain paling berbakat Brazil, Ronaldinho pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan La Liga bersama Barcelona dan Serie A Itali bersama AC Milan.

Antara kelab gergasi Eropah lain yang pernah disertainya ialah kelab Perancis, Paris Saint-Germain.

Bersama Atletico Mineiro di Brazil, Ronaldinho berjaya menjuarai Piala Libertadores dan kejuaraan negeri Rio de Janeiro bersama Flamengo selain turut berada dalam skuad juara dunia Brazil pada 2002.

Fluminense yang menamatkan kempen Serie A Brazil di kedudukan ketiga berkata Ronaldinho akan memulakan latihan pada 27 Julai ini.

ARTIKEL YANG SAMA