Ronaldo atlet terkaya

Ronaldo atlet terkaya

NEW YORK, 9 Jun – Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo (bawah) dan penyerang Barcelona, Lionel Messi menguasai senarai atlet menerima bayaran tertinggi di dunia oleh majalah Forbes, semalam.

Senarai itu dikeluarkan selepas persaraan peninju bintang Amerika Syarikat (AS), Floyd Mayweather dan pengumuman pembedahan belakang oleh jaguh golf dunia, Tiger Woods.

Woods sebelum ini pernah menguasai kedudukan teratas selama 12 tahun, namun sejak tiga tahun lalu, ia dikuasai oleh Mayweather yang mengumumkan persaraannya tanpa sebarang kekalahan, tahun lalu.

Penyerang Portugal berusia 31 tahun itu mengungguli tangga teratas dengan mengumpul AS$88 juta yang diperoleh menerusi gajinya, AS$56 juta serta AS$32 juta menerusi perjanjian penajaan dan sebagainya.

Pemain Terbaik Dunia FIFA tiga kali itu mengaut keuntungan menerusi penajaan baru bersama Nike berjumlah AS$13 juta ditambah dengan beberapa penaja utama peribadi lain seperti Tag Heuer dan Herbalife serta jenama produk pakaian, seluar, seluar dalam dan hotelnya sendiri.

Messi yang ketika ini mengetuai Argentina bagi kempen Copa America Centenario berada di tangga kedua dengan mengumpul keseluruhan AS81.4 juta termasuk AS$28 juta daripada penajaan.

Bintang bola keranjang, LeBron James yang sedang mengetuai pasukan Cleveland Cavaliers menentang juara bertahan NBA, Golden State, di tempat ketiga selepas mengumpulkan AS$77.2 juta.

Begitupun, pemain kelahiran AS itu memiliki perjanjian penajaan bernilai AS$54 juta termasuk kerjasama seumur hidup bersama Nike yang dikatakan memberi keuntungan sehingga AS$1 bilion dan AS$23.2 juta gaji daripada kelabnya.

Sensasi tenis Switzerland, Roger Federer yang juga pemenang 17 kali Grand Slam keempat dengan kekayaan dikumpul berjumlah AS$67.8 juta yang diperoleh daripada penajaan berjumlah AS$60 juta.

Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic berada di kedudukan 10 teratas buat pertama kali selepas mengumpul AS$55.8 juta dengan AS $34 juta diperolehnya daripada penajaan.

Pemain tenis nombor satu wanita, Serena Williams yang juga naib juara Terbuka Perancis dan Terbuka Australia, tahun ini muncul penerima tertinggi wanita dengan AS$28.9 juta.

Pelumba Formula British, Lewis Hamilton pula berada di kedudukan ke-11 dengan mengumpul AS$46 juta namun hanya AS$4 juta diperoleh daripada penajaan. Kedudukan 100 teratas diisi oleh 65 atlet AS dan 22 negara lain membabitkan 10 jenis sukan.

Peningkatan hak perjanjian televisyen menjadi antara penyumbang kepada peningkatan pendapatan bintang-bintang sukan ini dengan senarai 100 ke atas memiliki nilai pendapatan sekurang-kurangnya AS$20.8 juta, penambahan AS $2 juta berbanding tahun lalu. Tempoh pengiraan yang dijalankan dibuat selama 12 bulan yang berakhir, seminggu lalu. – AFP