Ronaldo bakal tinggalkan Real Madrid?

Ronaldo bakal tinggalkan Real Madrid?

MADRID, 18 Okt – Sejak Rafa Benitez dilantik menguruskan Real Madrid di Santiago Bernabeu, tercetus spekulasi mengatakan penyerang pasukan itu, Cristiano Ronaldo akan meninggalkan kelab tersebut.

Sehubungan itu, musim ini dikatakan sebagai yang terakhir untuk Ronaldo ­ beraksi bersama Real selepas pemain kelahiran Portugal itu semakin hangat dikaitkan dengan Paris Saint-Germain (PSG).

Pengulas skuad kebangsaan Sepanyol, Guillem Balague berkata, PSG merupakan pasukan paling berpotensi untuk mendapatkan pemain berusia 30 tahun itu yang dilihat semakin tidak selesa di Madrid.

Sebagai rekod, Ronaldo bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama Real Madrid untuk tempoh tiga tahun sejak mencapai persetujuan pada September 2013.

Cristiano Ronaldo (kanan) ketika bersaing dengan pemain midfield Levante, Simao pada perlawanan Liga Sepanyol di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid pada 17 Oktober 2015. - AFP
Cristiano Ronaldo (kanan) ketika bersaing dengan pemain midfield Levante, Simao pada perlawanan Liga Sepanyol di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid pada 17 Oktober 2015. – AFP

“Mungkin ia boleh menjadi musim terakhir untuk Ronaldo di Madrid. Ia juga kelihatan seperti Real Madrid tidak berpuas hati dengan perkara ini,” kata Balague.

Selain itu, Balague turut percaya Real sanggup melepaskan Ronaldo kerana pemain itu sudah berada pada tahap kemuncak prestasi dan tidak lagi mengalami peningkatan.

Ronaldo kini telah menjaringkan 323 gol menerusi 309 penampilan untuk Real Madrid, namun mula bergelut pada musim ini selepas hanya mencetak lima gol dalam tujuh aksi La Liga.

Difahamkan, Real terlebih dahulu menangguhkan rancangan untuk berbincang semula berhubung masa depan Ronaldo, namun kapten Portugal itu dikatakan enggan terburu-buru.

Ronaldo dikatakan mahu membuat penilaian semula berhubung perjanjiannya bersama The Galaticos sebelum membuat keputusan muktamad. – Agensi