Ronaldo bersara di Bernabeu

Ronaldo bersara di Bernabeu

MADRID, 9 Okt (Agensi) – Bekas pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti percaya pemain tonggak pasukan itu, Cristiano Ronaldo hanya ditakdirkan untuk beraksi bersama juara 13 kali Liga Sepanyol itu sehingga dia mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional.

Menurut Ancelotti, sekiranya Ronaldo membuat keputusan berhijrah menyertai pasukan lain setelah kontraknya tamat pada tahun 2018, sudah tentu perkara itu akan mengejutkan dunia.

“Ronaldo berjaya menyamai rekod sebagai penjaring terbanyak Real iaitu sebaris dengan pemain legenda, Raul Gonzalez baru-baru ini. Tidak dapat saya bayangkan apa reaksi orang ramai sekiranya Ronaldo me¬ninggalkan Real.

“Saya yakin dia akan kekal bersama Real sehingga dia bersara kerana semua orang di sana sayangkannya,” ujar Ancelotti.

Ronaldo dijangka akan terus kekal bersama Real dan tidak akan menyertai pasukan lain sehingga bersara. – Reuters
Ronaldo dijangka akan terus kekal bersama Real dan tidak akan menyertai pasukan lain sehingga bersara. – Reuters

Sebagai rekod, pemain berusia 30 tahun itu telah menjaringkan 230 gol dalam 207 penampilannya bersama Real sejak 2009. Malah, reputasi hebatnya itu turut disumbangkan apabila menyarung jersi Portugal dengan meledakkan 55 gol bagi 122 aksi pada peringkat antarabangsa.

Bekas pasukan yang menggilap bakatnya, Manchester United serta Paris Saint-Germain (PSG) adalah pasukan yang bermati-matian berusaha mengikat Ronaldo dalam masa terdekat ini.

Dalam perkembangan sama, bekas pengurus Chelsea itu turut memberitahu, bekas pemain lincah Real, Angel Di Maria turut akan menyinar setelah menyarung jersi PSG.

Ini kerana menurutnya, pemain antarabangsa Argentina itu boleh beraksi di pelbagai posisi dengan cemerlang iaitu di bahagian sayap dan juga tengah.

“Dia mampu membantu PSG memburu kejayaan kerana dia adalah pemain yang tidak pentingkan diri. Dia adalah pemain yang sangat pentingkan kerjasama dalam pasukan,” ujarnya.