Ronaldo buka 30 sekolah di China

Ronaldo buka 30 sekolah di China

pg23_150930_bSINGAPURA, 29 Sept (Reuters) – Legenda Brazil yang juga Pemain Terbaik Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tiga kali, Ronaldo (gambar) akan membuka 30 sekolah bola sepak di China.

Menurut agensi berita Xinhua, rangkaian sekolah itu akan beroperasi di tiga bandaraya iaitu Beijing, Shanghai dan Shenzhen.

Bekas penyerang Barcelona, Real Madrid dan Inter Milan itu dijangka hadir pada majlis pembukaan pertamanya di ibu negara China, November ini.

Projek itu hadir selepas Presiden China, Xi Jinping yang juga peminat bola sepak mendesak agar negara itu menganjurkan Piala Dunia satu hari nanti dan mengembalikan imej sukan itu selepas bertahun-tahun dibayangi isu rasuah.

Bola sepak di negara itu makin rancak menyaksikan Liga Super China mengalami ledakan pelaburan daripada ahli perniagaan tempatan dengan beberapa pemain antarabangsa Brazil seperti Robinho dan Diego Tardelli menyertai kelab-kelab terkemuka tempatan.

Ronaldo, 39 yang memenangi Piala Dunia dua kali bersama Brazil berkata kepantasan pembangunan bola sepak di China dan cita-cita Xi menjadi antara faktor kepada keputusannya itu.

“Di samping faktor perniagaan, antara alasan besar lain buat saya untuk membuka sekolah bola sepak di China adalah kerana ada begitu ramai peminat dan pemain bola sepak di negara ini.

“Kerajaan China dan organisasi awam juga fokus terhadap pembangunan bola sepak,” kata Ronaldo kepada Xinhua.

“Saya berharap kaedah dalam latihan bola sepak dapat membantu membangunkan bola sepak China. Saya fikir bola sepak di China mempunyai asas yang kukuh dan keinginan, namun ia masih kurang dari segi konsep dan kaedah latihan.”

Salah satu sasaran yang diletakkan kerajaan China adalah menjadikan negara itu selaku kuasa besar bola sepak dunia bagi pasukan lelaki dan wanita.

Begitupun ketika pasukan kebangsaan wanita China berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia tahun ini, pasukan lelaki hanya beraksi sekali pada 2002.

Pada aksi di Korea Selatan dan Jepun itu, China tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan termasuk kekalahan 4-0 kepada Brazil dengan Ronaldo turut tersenarai antara penjaring.