Ronaldo buktikan siapa terbaik

Ronaldo buktikan siapa terbaik

BARCELONA, 27 Nov – Cristiano Ronaldo membuktikan kepada para pengkritik yang meragui kemampuannya pada awal musim dengan menjaringkan dua gol awal pagi tadi sekali gus melonjakkan dirinya ke tangga teratas senarai penjaring La Liga.

Gol kesembilan dan ke-10 Ronaldo pada kempen kali ini membantu Real menewaskan Sporting Gijon 2-1 dan mengatasi pesaingnya dari Barcelona, Lionel Messi serta Luis Suarez yang masing-masing mengutip lapan gol.

Ia adalah titik kebangkitan yang baik buat kapten Portugal itu selepas dikritik hebat di awal musim kerana masih dibelenggu kecederaan lutut ketika aksi final Euro 2016.

Permulaan kempen Ronaldo bersama Real musim ini adalah yang terburuk dalam kariernya apabila hanya menjaringkan empat gol dalam lapan perlawanan pertamanya, tetapi kemudian mula menemui sentuhan sebenarnya.

Dia meledak hatrik pertamanya musim ini untuk Real ketika membelasah Alaves 4-1 akhir Oktober lalu dan kembali dari aksi antarabangsa dengan tiga lagi gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Atletico Madrid minggu lalu.

Ronaldo kini mengungguli senarai penjaring terbanyak La Liga musim ini. - AFP
Ronaldo kini mengungguli senarai penjaring terbanyak La Liga musim ini. – AFP

Ia adalah kemenangan liga pertama Real ke atas seteru tetangga itu selepas tiga tahun, dan Ronaldo melengkapkan gol kelimanya dalam dua perlawanan liga dengan dua gol ke atas Gijon, pertama menerusi penalti dan kemudian dengan tandukan.

“Itu Cristiano sebenar, dia boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa,” kata pengendali Real Zinedine Zidane.

“Apabila dia tidak menjaringkan gol semua orang fikir dia tidak bermain dengan baik. Hari ini dia meledak dua kali dan bekerja keras, di bahagian sayap dan di tengah. Dia sudah pulih sepenuhnya.”

Dengan Suarez dan Messi hanya akan beraksi apabila Barcelona bertandang ke Real Sociedad awal pagi nanti, Ronaldo kini mendahului saingan untuk Trofi Pichichi, yang menjadi milik setiap penjaring terbanyak La Liga, buat pertama kali musim ini. – AP