Ronaldo cergas untuk beraksi di final

Ronaldo cergas untuk beraksi di final

BARCELONA, 26 Mei – Cristiano Ronaldo menegaskan bahawa dia akan turut serta dan memberikan aksi 100 peratus pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, Sabtu ini (pagi Ahad waktu tempatan) dalam usaha membantu Real Madrid merekodkan gelaran ke-11 di saingan pentas Eropah.

Penyerang berbahaya dari Portugal itu mencemaskan kem Real seketika apabila dia gagal menamatkan sesi latihan, kelmarin tetapi kembali cergas untuk menjalani latihan keesokan harinya.

Walaupun Ronaldo menjaringkan gol terakhir ketika kemenangan 4-1 Real ke atas Atletico pada masa tambahan dalam aksi final edisi 2014 di Lisbon, dia mengakui tidak beraksi pada tahap terbaik susulan kecederaan hamstring.

Disebabkan itu, kali ini dia bertekad untuk tampil dengan aksi lebih baik di San Siro.

“Cristiano sering ada dalam perlawanan yang penting. Saya akan akan turun dengan prestasi 100 peratus. Saya janji prestasi saya akan lebih baik berbanding di Lisbon,” kata Ronaldo.

Ronaldo ketika mengumumkan perkara tersebut. – AFP
Ronaldo ketika mengumumkan perkara tersebut. – AFP

“Di Lisbon, kecederaan hamstring yang saya alami membuatkan saya rasa sakit. Ia sesuatu yang mengecewakan apabila pada satu tahap kamu sedar kamu boleh memberikan yang terbaik tetapi tidak kerana tubuh badan kamu tidak mengizinkannya”.

Ronaldo menjaringkan gol dan berada dalam pasukan yang menang dalam kedua-dua penampilannya di final Liga Juara-Juara, turut memenanginya pada 2008 bersama Manchester United.

Dia adalah penjaring terbanyak dalam saingan kejohanan musim ini dengan 16 gol dan hanya satu gol lagi untuk dia menyamai rekod yang dilakukannya dengan 17 gol pada 2013/2014.

Ronaldo turut memberi perkhabaran gembira buat kelab itu menjelang aksi perlawanan akhir bertemu Atletico apabila menegaskan yang dia mahu kekal di Santiago Bernabue untuk tempoh jangka panjang.

“Real membuat keputusan yang bijak jika mereka menawarkan kontrak baru kepada saya,” kata Ronaldo. – Agensi