Ronaldo: Croatia satu pasukan hebat

Ronaldo: Croatia satu pasukan hebat

UEFA-Euro-2016-Logo

LYON, 23 Jun (AFP) – Ronaldo menegaskan bahawa peluang pasukannya untuk pertemuan pusingan 16 terakhir melawan Croatia 50-50 selepas pasukan Balkan itu mengejutkan juara bertahan Sepanyol 2-1 untuk mara ke pusingan kalah mati.

“Kami berjaya melakukan dan akan berdepan pasukan yang bagus, tetapi saya merasakan peluang kami seimbang,” katanya.

“Croatia adalah pasukan yang bagus, dengan pemain yang bagus. Tidak semua pasukan mampu menundukkan Sepanyol,’’ katanya selepas membawa Portugal layak ke pusingan kalah mati selepas terikat 3-3 dengan Hungary yang dianggap sebagai aksi ‘gila’.

Keputusan itu menyaksikan Hungary muncul juara Kumpulan F. Portugal mara selaku pasukan ketiga terbaik dalam kumpulan tetapi menempah pertemuan sukar menentang Croatia di Lens pada Sabtu ini.

Ronaldo membuka jaringan dengan bergaya apabila melakukan kuisan ke belakang pada minit ke-50 sebelum dia menanduk masuk gol 12 minit kemudian bagi menyamakan kedudukan buat kali kedua di Stade de Lyon.

Jaringan itu menjadikan dia sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam empat kempen Euro berturut-turut.

“Ia adalah perlawanan yang gila,” kata Ronaldo tatkala Portugal terpaksa menyamakan kedudukan sebanyak tiga kali dalam aksi terbabit.

“Kami terpaksa mengejar kedudukan perlawanan, ia sangat panas, tetapi sasaran utama kami adalah untuk layak.

“Sudah pasti kami mahu menang dan mara sebagai juara, tetapi apa yang penting kami sudah layak.”

Bintang sensasi Real Madrid itu turut mencatat rekod baharu dengan penampilan ke-17 dirinya pada Kejohanan Eropah.