Ronaldo elak ulas skandal FIFA

Ronaldo elak ulas skandal FIFA

LONDON, 11 Nov (Agensi) – Tarikh terpenting setiap tahun kepada Cristiano Ronaldo tiada kena mengena dengan perlawanan clasico Real Madrid menentang Barcelona, perlawanan penting Liga Juara-juara atau mewakili Portugal untuk tugasan antarabangsa.

Menurut Ronaldo, tarikh terpenting baginya ialah apabila menaiki jet peribadi ke Zurich pada Januari untuk mengetahui jika dia akan ditabalkan sebagai Pemain Terbaik Dunia dalam majlis gilang gemilang anugerah Ballon D’Or Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Itu satu keputusan yang boleh membawa banyak perubahan. Itu adalah kemuncak selepas setahun bekerja,” katanya dalam dokumentari baharu mengenai kehidupannya, yang ditayangkan kali pertama di London semalam.

Ketaksuban Ronaldo memenangi anugerah tertinggi individu bola sepak itu menjadi fokus utama dokumentari sepanjang 92 minit itu yang dimulakan dengan majlis Ballon D’Or 2014 dan ditutup dengan kejayaannya pada 2015.

Bagaimanapun Ronaldo tidak bercakap banyak mengenai penganjur majlis itu atau Presiden FIFA Sepp Blatter – yang menyampaikan anugerah bola emas itu kepadanya sebanyak tiga kali.

Cristiano (kanan) melayan peminatnya sebelum tayangan filem dokumentari Ronaldo di Dataran Leicester, London kelmarin. – Reuters
Cristiano (kanan) melayan peminatnya sebelum tayangan filem dokumentari Ronaldo di Dataran Leicester, London kelmarin. – Reuters

Mempromosikan filem itu di London kelmarin, pengacara sidang akhbar mulanya cuba menyekat soalan kepada Ronaldo mengenai FIFA dan apa yang pemain handalan itu harapkan daripada FIFA yang dilanda rasuah.

Namun Ronaldo, mungkin menyedari dia dilihat sebagai lemah, dengan pantas mencelah: “Saya tidak takutkan apa-apa … saya jawab apa yang saya fikir.”

Namun dia tidak melakukannya. “Sudah tentu saya tidak akan bercakap mengenainya kerana apabila Cristiano berkata sesuatu, akan mencipta sesuatu yang besar.

“Saya tidak akan terlibat dalam masalah sebegini,” kata Ronaldo, merujuk dirinya sebagai orang ketiga.

Terus diasak mengenai mengapa pemain dilihat takut untuk menyuarakan keadaan yang menyelubungi FIFA sekarang, Ronaldo enggan menjawab lebih lanjut.

“Apa yang anda harap untuk saya katakan? Saya amat gembira? Sudah tentu saya agak sedih kerana semalam,” katanya, yang bukan merujuk kepada FIFA tetapi kekalahan pertama Real Madrid musim ini.

“Saya tidak mahu (memikirkan) hari semalam pada hari ini kerana hari ini begitu istimewa untuk saya. Ini adalah antara hari yang terpenting dalam hidup saya,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA