Ronaldo gagal kejar Barcelona

Ronaldo gagal kejar Barcelona

BARCELONA, 22 Feb (Reuters) – Cristiano Ronaldo menjaringkan satu gol tetapi turut gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Real Madrid sekadar seri 1-1 dengan Malaga, sekali gus ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liga Sepanyol, Barcelona.

Penghuni tangga kedua, Atletico Madrid, juga hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Villareal dan ketinggalan lapan mata di belakang Barcelona, yang berada di kedudukan terbaik bagi mempertahankan kejuaraan liga musim ini.

Ronaldo meletakkan pasukan pelawat di depan apabila menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-33 tetapi terlepas peluang untuk membantu Real menambah jaringan beberapa minit kemudian apabila sepakan penaltinya berjaya diselamatkan penjaga gol Malaga, Carlos Kameni.

Tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi tonggak pertahanan Raul Albentosa pada minit ke-66.

Real memerlukan kemenangan dalam perlawanan itu bagi merapatkan jurang dengan Barcelona selepas The Catalan menewaskan La Palmas 2-1, kelmarin.

Aksi Ronaldo bersaing dengan Roberto Rosales dalam perlawanan Malaga menentang Real Madrid di Stadium La Rosaleda. – Reuters
Aksi Ronaldo bersaing dengan Roberto Rosales dalam perlawanan Malaga menentang Real Madrid di Stadium La Rosaleda. – Reuters

Atletico juga memerlukan kemenangan tetapi anak buah Diego Simeone gagal memecahkan kekebalan benteng pertahanan Villareal di Stadium Vicente Calderon.

Real dan Atletico masih mempunyai baki 13 perlawanan untuk cuba memintas kedudukan Barcelona.

Bagaimanapun, tiada pasukan yang boleh bangkit daripada ketinggalan sembilan mata untuk muncul juara liga.

“Perjuangan kami masih belum tamat. Masih ada banyak lagi perlawanan, pasukan lain juga boleh terlepas mata.

“Kami tidak akan putus asa. Ia jurang yang besar tetapi kami akan berjuang sehingga tamat musim ini,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.