Ronaldo labur 40 juta pound bagi projek CR7

Ronaldo labur 40 juta pound bagi projek CR7

LISBON, 18 Dis (AFP) – Sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo mendedahkan perancangan masa hadapannya apabila dia bersedia untuk melabur 40 juta pound untuk hotel ‘CR7’ di Portugal, Madrid dan juga New York.

“Ramai pemain bola sepak menamatkan kariernya tanpa mengetahui apa yang mereka kehendaki. Tetapi bagi saya, ianya jelas yang saya mahu terus menjaga jenama saya,” katanya kepada AFP.

Pemenang Ballon d’Or tiga kali itu juga mendedahkan rancangannya untuk bekerjasama dengan Kumpulan Hotel Pestana, dengan hotel ‘CR7’ akan dibina di bandar yang memiliki hubung kait dengan karier bola sepaknya iaitu di Funchal, Lisbon dan Madrid serta satu lagi di New York dengan kebarangkalian dia bakal menyambung kariernya di Major League Soccer (MLS) pada masa hadapan.

“Saya masih lagi mempunyai banyak pilihan pada usia 30 tahun dan saya gembira kerana mendapat sokongan daripada ramai orang. Apa yang saya mahukan ialah nama saya terus kekal di mana sahaja tempat saya bekerja.

“Kehidupan saya memang berkisar mengenai bola sepak kerana ini kerjaya saya, tetapi ada masanya kehidupan kita berubah dan saya sentiasa inginkan untuk memiliki hotel sendiri,” katanya.

Hotel pertamanya nanti akan dibina di Madeira, Portugal yang juga adalah kawasan di mana dia membesar dan menjadi tempat tinggal keluarganya, sebelum projek keduanya dibina di lokasi berhampiran muzium miliknya di Funchal.

Meskipun dia berharap karier bola sepaknya masih lagi dapat diteruskan untuk tujuh ke lapan tahun akan datang, namun dia tidak melihat keperluan bagi menyambung kariernya dalam sukan nombor satu itu apabila bersara nanti.