Ronaldo lebur rekod Barca

Ronaldo lebur rekod Barca

BARCELONA, 3 April (AFP) – Penyerang berbisa Portugal, Cristiano Ronaldo menjadi hero kebangkitan Real Madrid apabila meledak gol kemenangan 2-1 sekali gus menamatkan rekod 39 perlawanan tanpa kalah Barcelona di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi.

Kemenangan itu lebih bermakna lagi apabila Real yang bertandang di tempat lawan merampas tiga mata penuh meskipun bermain dengan 10 pemain dalam pertembungan dua musuh tradisi ketat itu.

Tuan rumah terlebih dahulu meraikan gol awal menerusi tandukan Gerard Pique pada minit ke-56 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Namun, Real pantas mendapatkan gol penyamaan menerusi Karim Benzema pada minit ke-62.

Selepas kapten Madrid, Sergio Ramos dilayang kad merah kali ke-21 dalam kerjaya bola sepaknya pada minit ke-83, tiba ledakan gol kemenangan Ronaldo menerjah jaring, kira-kira lima minit sebelum permainan tamat.

Aksi Ronaldo dan Ivan Rakitic (kiri) ketika bersaing dalam perlawanan Liga Spanyol ‘Clasico’ Barcelona menentang Real Madrid di Stadium Camp Nou, Barcelona. Ronaldo bangkit meledakkan gol kemenangan 2-1, sekali gus menamatkan rekod 39 perlawanan tanpa kalah Barcelona awal pagi tadi. – AFP
Aksi Ronaldo dan Ivan Rakitic (kiri) ketika bersaing dalam perlawanan Liga Spanyol ‘Clasico’ Barcelona menentang Real Madrid di Stadium Camp Nou, Barcelona. Ronaldo bangkit meledakkan gol kemenangan 2-1, sekali gus menamatkan rekod 39 perlawanan tanpa kalah Barcelona awal pagi tadi. – AFP

“Menang di sini satu harga yang amat mahal kepada semua pemain kerana mereka memberi sepenuh keringat,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.

Ia juga saat bermakna buat Zidane kerana ia kemenangan sulungnya ke atas Barca sejak mengendalikan Real.

Barca telah memenangi perlawanan tanpa kalah sejak 39 perlawanan lalu, walau bagaimanapun Real masih ketinggalan tujuh mata di belakang Barcelona sebagai pendahulu dengan berbaki tujuh perlawanan menjelang aksi bertemu Wolfsburg dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

ARTIKEL YANG SAMA