Ronaldo ledak hatrik

Ronaldo ledak hatrik

MADRID, 20 Nov – Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik bagi membantu Real Madrid melakar kemenangan pertama ke atas musuh terdekat Atletico Madrid 3-0 dalam saingan La Liga dalam tempoh tiga tahun pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Vicente Calderon, awal pagi tadi.

Real kini mendahului Barcelona yang menduduki tempat kedua dengan empat mata selepas pasukan Catalans itu tidak memainkan Lionel Messi dan Luis Suarez apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Malaga yang beraksi dengan sembilan pemain.

Ronaldo menyumbat penentuan sepakan penalti ketika Real menewaskan Atletico dalam final Liga Juara-Juara Mei lalu dan muncul pemenang sekali lagi dengan sedikit tuah turut membantu mereka. Pemain sensasi Portugal itu membuka tirai jaringan selepas percubaannya membias sekali gus mengelirukan Jan Oblak.

Ronaldo kemudian mengukuhkan kedudukan Real dengan jaringan kedua menerusi sepakan penalti 19 minit sebelum tamat perlawanan sebelum menyudahkan hantaran Gareth Bale untuk melengkapkan hatrik.

“Kami beraksi dalam perlawanan besar sejak mula menentang lawan yang sangat sukar,” kata bos Real Zinedine Zidane.

Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik bagi membantu Real Madrid menewaskan Atletico Madrid 3-0. – AFP
Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik bagi membantu Real Madrid menewaskan Atletico Madrid 3-0. – AFP

“Hanya beberapa pasukan yang boleh datang ke sini dan menang 3-0.”

Kekalahan ketiga Atletico dalam empat perlawanan liga menjejaskan harapan mereka untuk memburu kejayaan dalam musim terakhir mereka di Calderon.

Barisan Diego Simeone ketika ini ketinggalan sembilan mata di belakang Real dan menduduki tempat kelima carta. “Pada babak pertama mereka jelas lebih baik berbanding kami,” akui Simeone.

“Pada 20 minit babak kedua kami mencipta peluang, mengawal perlawanan tetapi penalti yang diperoleh pelawat melemahkan semangat kami.” – AFP