Ronaldo ledak hatrik

Ronaldo ledak hatrik

MADRID, 16 Sept (AFP) – Cristiano Ronaldo kini mendahului senarai penjaring terbanyak dalam sejarah saingan Liga Juara-Juara, selepas mencipta hatrik untuk Real Madrid pada aksi pembukaan kempen kejuaraan Eropah itu dengan kemenangan 4-0 ke atas Shakhtar Donetsk, di sini, semalam.

Ronaldo meledak dua kali menerusi sepakan penalti sebelum melengkapkan hatrik keduanya dalam tempoh empat hari dan sekali gus meletakkan jumlah jaringannya kepada 80 sepanjang kejohanan, lebih tiga berbanding pesaingnya dari Barcelona, Lionel Messi.

“Saya sangat gembira. Saya merakamkan terima kasih kepada rakan sepasukan atas keyakinan diberikan mereka kepada saya,” kata Ronaldo.

“Kami tahu saingan pra musim kurang penting, namun kami perlu beraksi baik pada kempen La Liga dan Liga Juara-Juara.

Ronaldo menjaringkan gol semasa menentang Shakhtar Donetsk di stadium Santiago Bernabeu dalam aksi Liga Juara-Juara semalam. – Reuters
Ronaldo menjaringkan gol semasa menentang Shakhtar Donetsk di stadium Santiago Bernabeu dalam aksi Liga Juara-Juara semalam. – Reuters

“Kami bermula agak lembap pada saingan La Liga dengan keputusan seri, namun sejak itu kami sudah bertambah baik, lebih konsisten dan terus melangkah cemerlang.”

Karim Benzema menjaringkan gol pertama Real, hasil kesilapan penjaga gol Andriy Pyatov pada separuh masa pertama, sebelum rakannya, Taras Stepanenko dibuang padang kerana mengutip dua kad kuning, lima minit selepas babak kedua bersambung. Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Paris Saint-Germain menewaskan Malmo 2-0.

ARTIKEL YANG SAMA