Ronaldo lepas geram

Ronaldo lepas geram

LYON, 23 Jun (AFP) – Kemarahan Cristiano Ronaldo berjaya dilepaskan di atas padang apabila menjaringkan dua gol menarik bagi mencipta rekod dalam saingan Euro dan membawa Portugal mara ke pusingan 16 terbaik selepas mencatat keputusan seri 3-3 dengan Hungary, awal pagi tadi.

Bintang Real Madrid itu menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam empat kempen Euro selain membuat penampilan ke-17 dalam Kejohanan Eropah berkenaan yang turut mencatat rekod baharu.

Pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan gol pertamanya bagi kempen Euro kali ini penuh bergaya apabila kuisan ke belakang pada minit ke-50 sebelum dia menanduk masuk gol 12 minit kemudian bagi menyamakan kedudukan buat kali kedua di Stade de Lyon.

Keputusan itu menyaksikan Hungary muncul juara Kumpulan F manakala Iceland yang menewaskan Austria 2-1 naib juara.

Portugal mara ke pusingan kalah mati sebagai salah sebuah pasukan ketiga terbaik kumpulan dan dijangka berdepan halangan sukar untuk layak ke suku akhir apabila dijadual bertemu Croatia yang mengejutkan juara bertahan, Sepanyol, semalam.

Ronaldo melepaskan geramnya dengan menjaringkan dua gol buat Portugal bagi menyamakan kedudukan 3-3. – AFP
Ronaldo melepaskan geramnya dengan menjaringkan dua gol buat Portugal bagi menyamakan kedudukan 3-3. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Ia perlawanan yang gila,” kata Ronaldo yang turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Kami perlu bangkit daripada ketinggalan, ia perlawanan yang sukar tetapi matlamat utama adalah layak ke pusingan seterusnya. Saya tidak boleh katakan saya tidak gembira, ini adalah rekod yang baik.

“Namun, keutamaan saya adalah membantu Portugal ke pusingan 16 terakhir.” Susulan keputusan seri dengan Iceland dan Austria, kapten Portugal itu jelas merasai tekanannya. Ia terbukti apabila dia dilihat merampas mikrofon daripada seorang wartawan dan membuangnya ke dalam tasik.

Bagaimanapun, dia berjaya membuktikan sentuhannya apabila diperlukan dengan Portugal tiga kali menyamakan kedudukan dalam perlawanan sukar.

726926-01-03