Ronaldo: Menang buat kelab satu keutamaan

Ronaldo: Menang buat kelab satu keutamaan

MILAN, 27 Mei – Cristiano Ronaldo menyuarakan bahawa dia tidak memikirkan mengenai gol peribadinya sebaliknya memfokuskan terhadap kemenangan Real Madrid ke atas Atletico Madrid dalam aksi perlawanan akhir Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad ini waktu Brunei adalah lebih penting.

Ronaldo yang juga merupakan pemain terbaik dunia tiga kali, tidak pernah menjaringkan gol di San Siro tetapi mempunyai peluang untuk menyamai dan sekali gus melepasi rekod peribadinya yang sebelum ini menjaringkan 17 gol dalam saingan Liga Juara-Juara.

Dua tahun selepas gol penyamaan menerusi tonggak pertahanan, Sergio Ramos pada lewat babak perlawanan yang menjadi inspirasi kebangkitan Real bagi merekodkan gelaran ke-10 Liga Juara-Juara di Lisbon, Ronaldo menegaskan memenangi kejuaraan ke-11 adalah lebih penting berbanding menjaringkan gol di San Siro.

“Ia akan menjadi lebih bermakna jika saya dapat menyamai atau melepasi rekod gol saya tetapi saya tidak terlalu memikirkan mengenainya. Ini kerana, apa yang lebih penting adalah memenangi perlawanan,” kata Ronaldo ketika ditanya mengenai peluangnya menambah jaringan daripada 16 golnya musim ini.

Kemenangan bakal menyaksikan Real mengukuhkan reputasi mereka sebagai kelab Eropah paling berjaya dengan memenangi kejohanan tahunan itu selain Piala Kejuaraan Kelab Eropah pada 1956 apabila pemain Argentina, Hector Rial meledak gol kemenangan ketika menewaskan gergasi Perancis, Stade Reims 4-3 di Paris.

Ronaldo bersama rakan sepasukannya tiba di lapangan terbang Milan, Itali. – AP
Ronaldo bersama rakan sepasukannya tiba di lapangan terbang Milan, Itali. – AP

Pencapaian Atletico mungkin tidak boleh menandingi Real tetapi ancaman daripada skuad kendalian Diego Simeone yang hanya membenarkan Real mencatat satu kemenangan dalam 10 pertemuan sejak final 2014 bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah.

Sebelum memenangi dua kejuaraan Liga Europa pada 2010 dan 2012, trofi terakhir skuad Rojiblancos adalah Piala Eropah pada 1962.

Selepas dua tahun perlawanan di Lisbon, anak buah Simeone kembali menggegar dengan menewaskan Barcelona dalam aksi suku akhir sebelum menamatkan perjuangan Bayern Munich menerusi kemenangan dalam aksi separuh akhir.

Penyokong Real mungkin mempunyai sejarah, tetapi Real yang kini dibimbing Zinedine Zindane hanya sekali menewaskan Atletico dalam 10 pertemuan sejak kemenangan 4-1 di Lisbon, dua tahun lalu.

“Kami sudah bermain menentang dua daripada tiga kelab utama di dunia dan kini kami berdepan yang ketiga di final,” kata Simeone yang percaya kunci utama bagi menewaskan Real adalah meruntuhkan kekebalan benteng pertahanan lawan itu dan memastikan pemainnya mematikan segala usaha lawan menerusi set-pieces.

“Real adalah berbeza dengan Barcelona dan Bayern. Mereka akan menjadi ancaman menerusi set pieces. Kami akan bersedia dan akan turun dengan corak permainan kami tersendiri.

“Kami tahu apa yang kami perlu lakukan dan kami mahu menang”. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA