Ronaldo nafi tinggalkan Real Madrid

Ronaldo nafi tinggalkan Real Madrid

MADRID, 9 Dis – Cristiano Ronaldo menolak khabar angin dia mahu meninggalkan Real Madrid dan menegaskan jurulatih, Rafael Benitez melakukan kerja yang baik di kelab gergasi Sepanyol itu.

Ronaldo bercakap selepas menyumbat empat gol ketika membantu Real membelasah Malmo 8-0 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi, apabila dia mencipta sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan lebih daripada 10 gol dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara.

Dia menjaringkan 11 gol sepanjang enam aksi, memintas rekod sembilan jaringan oleh penyerang Shakhtar Donetsk, Luiz Adriano pada musim lalu. Ronaldo juga menyumbat sembilan gol pada kempen 2013-14.

Pemain sayap itu berkata, dia begitu gembira dan akan terus kekal di Real walaupun wujud dakwaan bahawa dia sedang menjalankan rundingan perpindahan untuk ke Paris Saint-Germain (PSG).

“Ia hanya spekulasi, ia berlaku setiap tahun,” kata Ronaldo. “Dan orang ramai pun sudah menganggapnya sebagai perkara yang lapok. Tetapi kelab ini banyak membantu saya sejak saya tiba dan saya gembira di sini.”

Katanya, perbualan singkat dengan pengendali PSG, Laurent Blanc di tepi padang ketika pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan di Santiago Bernabue tidak membawa sebarang makna.

“Apa yang berlaku dengan Blanc adalah mudah,” kata Ronaldo. “Jika seseorang melayan anda dengan baik, anda pasti akan menegurnya. Jika seseorang dari Manchester, Chelsea atau Barcelona begitu baik kepada saya, saya akan bercakap dengannya.

Jelas sekali, ia tidak membawa sebarang makna. Saya masih ada kontrak dengan Real dan saya akan kekal.”

Malah, dia turut menyatakan sokongan kepada Benitez, yang sentiasa diejek penyokong di Bernabeu.

“Ia adalah normal untuk kelab seperti Real, untuk dikritik apabila berlaku kesilapan. Dia melakukan kerja dengan baik, dan masih cuba menyesuaikan diri. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA